• Carian
  • Media Sosial
  • Hari Pengundian
  • Rakyat Perlu Berhati-Hati Dengan Penjajah Baru, DAP – Khaled

    Posted by editor | 16 April 2018 | 24

     

    Rakyat Johor digesa tidak terpedaya dengan konsep ‘Demokrasi Ala Penjajah’ atau DAP yang diamalkan parti pembangkang.

    Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata demokrasi seharusnya menjadi saluran yang membawa kesejahteraan, bukan pentas untuk melampiaskan emosi dan kemarahan.

    Katanya, terdapat beberapa ciri DAP yang diamalkan oleh parti pembangkang.

    “Pertama, mereka kononnya tidak berminat menjadi pemimpin teratas atau pemimpin nombor satu.

    “Kalau kita lihat sejarah, inilah cara penjajah dahulu. Mereka datang ke tanahair kita dan katakan yang mereka tidak mahu pun menjadi pemimpin kita.

    “Dan inilah yang dilakukan oleh pengamal DAP hari ini. Mereka kata mereka tidak berminat merampas kuasa politik orang Melayu. Tetapi, setiap hari, fokus mereka adalah untuk memastikan sebanyak mungkin kerusi yang dipegang oleh orang Melayu dapat dirampas dan mereka sanggup melakukan semua ini, biarpun identiti mereka, logo mereka, nama mereka, terpaksa ditukar dan digadaikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian berucap merasmikan Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor dan Skim Pinjaman Usahawan Tabung Wakaf Rakyat Johor, di sini, hari ini.

    Jelas Mohamed Khaled, demokrasi DAP itu juga memperlihatkan mereka hadir sebagai penyelamat sama seperti mentaliti Beban Orang Putih atau White Men’s Burden.

    “Katanya, mereka ada misi, ada tugas dan ada tanggungjawab untuk menyelamatkan kita dari kemunduran, dari kemiskinan dan dari kehidupan yang tidak moden serta tidak maju.

    “Inilah para pendukung demokrasi ala penjajah pada zaman moden lakukan, khususnya di Johor.

    “Mereka datang mengatakan yang Johor ini teruk, Johor ini mundur, Johor ini terkebelakang dan ketinggalan. Tetapi, kalau kita lihat fakta, ekonomi Johor ini adalah yang terbaik di Malaysia. Pelaburan dalam sektor pembuatan di Johor adalah yang tertinggi di Malaysia selama lima tahun berturut-turut atau tiga hingga enam kali ganda lebih tinggi dari negeri-negeri yang ditadbir pembangkang,” katanya.

    Ujar beliau lagi, DAP juga selalunya akan menampakkan amalan membahagi-bahagikan tanah dan kawasan kita kepada semua kroni atau sekutu mereka sesuka hati.

    “Inilah yang sedang dilakukan oleh Pakatan Harapan dan pendukung DAP. Kita tahu mereka semua bukan rakan dan sekutu.

    “Mereka semua adalah seteru dan mereka saling bersaing dan berbalah dalam banyak perkara. Mereka semua berbeza-beza ideologi dan pegangan.

    “Tetapi, demi kerusi dan kuasa, mereka bersama-sama duduk dan kononnya berpakat. Mereka bahagi-bahagikan negeri kita ini seperti kita ini semua tidak ada nilai,” katanya.

    Mohamed Khaled berkata, para pengamal demokrasi ala penjajah itu juga selalunya akan lari ke kawasan lain dan meninggalkan pengundi.

    “Selepas mereka bertanding di sesuatu kawasan DUN atau Parlimen, mereka tidak akan berkhidmat. Hanya membuat bising dan merungut.

    “Kemudian, apabila rakyat melihat temberang mereka yang tidak pun memberikan khidmat bakti, mereka tidak akan kisah. Mereka akan lari sahaja ke kawasan dan kerusi lain pula,” katanya.

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up