• Carian
  • Media Sosial
  • Hari Pengundian
  • Mengaku Pecat Anwar Satu Kesilapan Pula, Mahathir Mohamad Amalkan “U-Turn Is King”

    Posted by editor | 13 March 2018 | 67

     

     

    Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao hari ini menyelar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Mahathir Mohamad apabila hari ini secara terbuka mengaku salah memecat bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada September 1998.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menempelak kenyataan Mahathir di portal Malaysiakini yang menyatakan beliau mengaku tindakan itu tidak sepatutnya diambil ke atas Anwar.

    Mahathir berkata pemecatan Anwar adalah dibuat berdasarkan bukti yang ditunjukkan polis sebelum membuat pertimbangan sama ada wajar bertindak berdasarkan maklumat siasatan itu atau sebaliknya.

    Bekas Perdana Menteri itu kemudian berkata, ia adalah keputusan salah untuk mengikut peraturan semata-mata.

    Ramesh berkata kenyataan itu adalah satu pembohongan kerana di dalam buku ‘Doktor Umum : Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad’ setebal 982 muka surat, Mahathir menyatakan sendiri bahawa beliau ingin bertemu sendiri dan menyoal saksi-saksi dan mangsa kes liwat yang terlibat yang membawa kepada pemecatan Anwar.

    “Saya memberitahu yang saya mahu berjumpa dengan saksi-saksi berkenaan dan bercakap sendiri dengan mereka,” tulisan Mahathir dalam buku berkenaan di mukasurat 813, bab Cabaran Anwar.

    Menurut beliau lagi, bukan sekali kenyataan bahawa Mahathir menemui para saksi berkenaan malahan dalam buku itu Mahathir mengaku juga menemubual mereka seorang demi seorang seperti mirip siasatan polis.

    “Saya menemui mereka secara peribadi seorang demi seorang di kediaman rasmi saya, di Seri Perdana di Kuala Lumpur.

    “Saya beri jaminan kepada mereka yang perbualan kami adalah rahsia dan saya hanya mahu mendengar sendiri cerita mereka,” kata Mahathir mengesahkan bahawa beliau siasat sendiri dakwaan Anwar melakukan salah laku moral.

    Pada muka surat berikutnya, 814, Ramesh berkata Mahathir buat kesimpulan untuk memecat Anwar berdasarkan kepada maklumat polis dan pertemuan beliau sendiri.

    “Berdepan dengan maklumat polis, dan hasil temu bual saya sendiri maka saya perlu berbuat sesuatu,” kata Mahathir dalam buku berkenaan.

    Dalam kenyataan berkenaan, Ramesh mendakwa Mahathir menipu apabila mengaku beliau bertindak memecat Anwar hanya berdasarkan siasatan polis dan mendakwa Mahathir sengaja meletakkan kesalahan itu kepada pihak polis padahal Mahathir sendiri yang sudah melakukan siasatan sendiri.

    “Apa lagi yang boleh kita percaya pada Mahathir ini, kalau dalam memoirnya yang menjadi koleksi ramai orang ini pun dia menipu.

    “Terang-terang Mahathir kata, beliau sendiri jumpa dan soal semua saksi yang terlibat dalam kejadian itu.

    “Kasihan Anwar dipergunakan oleh Mahathir begitu sahaja, kerana apabila Mahathir sekali lagi dinamakan sebagai calon PM, baru dia mengaku Anwar tidak salah, selama ini, Anwar kekal bersalah,” kata Ramesh.

    Menurut beliau, pendedahan itu membuatkan apa sahaja kata-kata Mahathir sudah tidak boleh dipercayai dan semuanya adalah pembohongan belaka.

    “Mahathir hanyalah seorang bekas pemimpin yang suka mengamalkan “U-turn is King”,” kata Ramesh.

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up