“Budaya dan gaya hidup mereka lebih ‘Islam’ daripada kita yang lahir sebagai Muslim. Sebenarnya tanpa disedari mereka banyak ikut sunah Rasulullah SAW yang jauh lebih baik daripada kita. Jika hendak ditunjukkan akhlak murni, mereka lebih baik daripada kita,” kata Zulkarnain Hasan Basri, orang Perak yang sudah 20 tahun tinggal di Kobe, Jepun.

Beliau yang juga seorang jurutera di sebuah syarikat terkenal di Jepun, berkahwin dengan rakyat negara itu dan mendapat status penduduk tetap di sana. Antara aktiviti beliau di Jepun adalah membawa dakwah Islam kepada penduduk tempatan.

Usaha murninya itu amat bersesuaian dengan tajuk kolum ini iaitu Islam Nomichi yang bermaksud Jalan Ke Arah Islam, iaitu kolum baharu dalam Mega Mimbar. Semoga kita semua dirahmati Allah dalam dakwah menyampaikan agama suci ini. Insya-Allah.

ALHAMDULILLAH, saya diberikan peluang oleh Allah SWT untuk melaksanakan ibadah fardu kifayah di bumi matahari terbit ini. Baru-baru ini mendapat berita kematian saudara Muslim yang berasal dari Indonesia, lantas terdetik dalam hati inilah peluang terbaik untuk berdakwah.

Kesempatan yang amat jarang diperoleh ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Saya dapat melakukannya kerana pengebuminannya dijalankan pada Ahad (hari tidak bekerja). Saya segera menelefon beberapa teman yang sedang belajar Islam bersama saya, tiga daripada mereka memberikan jawapan positif dan menyatakan kesanggupan menghadiri majlis pengebumian ini.

Ini merupakan pengalaman pertama mereka menghadiri majlis pengebumian orang Islam. Saya minta mereka berkumpul di Stesen Kereta Api Kawachinaganoshi, Osaka berhampiran tempat tinggal saya pada pukul 10 pagi. Setelah semuanya tiba pada masanya, saya memandu ke tanah perkuburan Islam yang memakan masa kira-kira sejam perjalanan.