• Carian
  • Media Sosial
  • PM Beri Sumbangan Peribadi Kepada Bekas Wartawan

    Posted by editor | 30 January 2018 | 9

     

    Keadaan bekas wartawan Berita Harian, Tajuddin Saman, 70, yang terlantar sakit sejak lapan tahun lepas akibat serangan angin ahmar, mendapat perhatian Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Perdana menteri melalui Setiausaha Akhbarnya, Datuk Akmar Hisham Mokhles, menyampaikan sumbangan peribadi kepada Tajuddin di kediaman keluarga bekas wartawan itu di Presint 9, di sini hari ini.

    Tajuddin yang tidak mampu untuk berkomunikasi, kelihatan terharu dan mengangkat tangan kiri, sebaik menerima kunjungan Akmar Hisham dan beberapa rakan wartawan serta kumpulan pengamal media yang membuat liputan.

    Akmar Hisham berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga Tajuddin memandangkan beliau telah lama terlantar sakit dan memerlukan kos rawatan agak tinggi.

    “Sumbangan terutamanya untuk membeli susu kerana setiap hari beliau hanya minum susu khas di samping membeli lampin pakai buang,” katanya, menambah beliau turut menyampaikan sumbangan setiausaha akhbar menteri-menteri kabinet.

    Isteri Tajuddin, Rahmah Ibrahim, 61, berkata suaminya masih mampu mengingati rakan-rakan lamanya, walaupun telah terlantar sakit sejak 2012.

    Katanya sumbangan tersebut akan digunakan untuk membeli barang keperluan seperti susu khas untuk suaminya yang berharga RM70 setin.

    “Selalunya setin susu boleh bertahan seminggu, namun pakar bahagian pemakanan menasihatkan kami menambah bancuhan. Ketika ini, setin susu hanya bertahan selama lima hari.

    “Kami juga menerima bantuan susu dan lampin pakai buang daripada pihak Baitulmal manakala ubat-ubatan lain kami beli sendiri,” kata Rahmah.

    Tajuddin yang bertugas sebagai wartawan Berita Harian selama 20 tahun dari 1975 hingga 1995 pernah memenangi anugerah tertinggi kewartawanan negara, Anugerah Kajai, pada 1990.

    Beliau juga pernah menjadi setiausaha akhbar bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid; selain menulis buku berjudul ‘Dari Kodiang ke Jalan Riong’ yang mengisahkan tentang kerjayanya sebagai wartawan. – BERNAMA

     

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up