• Carian
  • Media Sosial
  • 880kg Dadah Berjaya Dirampas Oleh Kastam

    Posted by editor | 30 January 2018 | 22

     

    Taktik satu sindiket didalangi warga asing membawa masuk 880 kilogram (kg) dadah yang dianggarkan bernilai RM18 juta ke negara ini dengan mengisytiharkan sebagai garam melalui Pelabuhan Klang, terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyerbu sebuah premis di Kajang, Selangor, Jumaat lalu.

    Kejayaan itu merupakan hasil operasi digerakkan Cawangan Narkotik Ibu pejabat JKDM kira-kira pukul 11.30 malam dalam serbuan di premis berkenaan yang dijadikan stor simpanan dadah jenis ketamin dan heroin.

    Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya turut menahan 18 warga asing membabitkan 10 warga Pakistan dan masing-masing empat Myanmar dan Indonesia.

    “Hanya tujuh daripada mereka mempunyai dokumen perjalanan sah. Mereka diberkas ketika memunggah 1,885 guni dari dua buah kontena ke dalam premis tersebut yang disyaki dijadikan stor.

     

     

    “Pemeriksaan mendapati enam daripada guni tersebut me­ngandungi serbuk putih disyaki ketamin seberat 114kg, manakala 31 guni lagi berisi serbuk putih kristal dipercayai heroin seberat 766kg,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

    Menurut Subromaniam, peme­riksaan mendapati dadah tersebut dibawa masuk dari Karachi, Pakis­tan menerusi Pelabuhan Klang dan setiap guni seberat 25kg itu diisytiharkan sebagai garam.

    Mengulas mengenai pengliba­tan warga asing dalam kes itu, Subromaniam tidak menolak kemungkinan Malaysia dijadikan sebagai transit oleh sindiket tersebut.

    “Kita juga sedang menyiasat sama ada warga tempatan terlibat dalam sindiket berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 50 tahun itu direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Menurut Subromaniam, JKDM akan bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imi­gresen Malaysia bagi meme­rangi kegiatan pengedaran dadah melibatkan sindiket asing.

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up