• Carian
  • Media Sosial
  • Asuh Anak Lebih Berani Mengikut Sirah Nabi Muhammad SAW

    Posted by suzein-yana | 13 January 2018 | 3

     

    Ibu bapa perlu membina keberanian dalam diri anak-anak melalui sirah Nabi Muhammad SAW dan bukannya kisah khayal berkaitan hantu. Ikuti penjelasan bagaimana menyemai sifat terpuji itu bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati IKIMfm.

    Setiap bayi baru dilahirkan lumrahnya akan disertai dengan tangisan, lalu Islam menggalakkan bayi itu diazan dan diiqamatkan kerana ia dapat memberi kekuatan kepada jiwa mereka. Malah dengan mendengar azan yang dikumandangkan lima kali sehari, ia mampu menguat dan mengukuhkan jiwa orang mukmin yang seharusnya menjalani kehidupan dalam keadaan yang berani dan tidak takut menghadapi cabaran.

    Ujian ketakutan ialah antara bentuk ujian diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia.

    Sekiranya ketakutan ini tidak dibendung sejak usia kecil, maka ia akan memberi impak yang sangat buruk kepada manusia sehinggalah mereka dewasa kelak. Akhirnya mereka takut untuk berbicara mengenai kematian, syurga dan neraka serta tidak bersedia untuk berbicara keadaan di Padang Mahsyar.

    Perkongsian menerusi slot Mau’izati yang bersiaran di radio IKIMfm setiap Khamis jam 5.15 petang bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, menjelaskan sepanjang perjalanan hidup manusia, selalunya anak perempuan mempunyai perasaan takut yang lebih berbanding anak lelaki, malah anak lelaki lebih cekal sifatnya. Ini antara sebab lelaki lebih layak menjadi pemimpin. Namun, ia tidak bermakna anak lelaki tidak langsung memiliki rasa takut dan terdapat beberapa faktor yang membentuk perasaan takut berkenaan dalam diri anak.

    Ulama membicarakan berkaitan sebab wujudnya perasaan takut dalam kalangan anak yang antaranya berpunca daripada ibu mereka sendiri. Si ibu menakutkan anak kepada benda tertentu sama ada haiwan, tempat yang gelap atau orang yang tidak mereka kenali. Apabila anak ditakut-takutkan secara keterlaluan, akhirnya mendorong mereka berkelakuan pasif dan tidak berani melakukan sesuatu.

    Selain itu, seorang ibu yang terlalu memanjakan anaknya sehingga menyebabkan mereka terlalu bergantung kepadanya untuk menjalani kehidupan seharian, tidak mampu berdikari atau terlalu takut melakukan sesuatu. Seharusnya si ibu perlu memberi dorongan kepada anak untuk melakukan sendiri sesuatu perkara, memikul tanggungjawab, yakin dengan kebolehan diri sendiri dan berpegang kepada kepercayaan bahawa Allah akan sentiasa berada bersama mereka.

     

    Terlalu mengongkong

    Faktor lain yang mendorong perasaan takut dalam diri anak ialah apabila si ibu tidak membenarkan mereka bergaul dengan orang luar, terlalu mengongkong dan mengurung mereka dalam rumah. Pergaulan yang sangat terbatas mendatangkan pengaruh buruk, malah lebih memudaratkan apabila mereka membesar dalam keadaan berdampingan dengan gajet dan media sosial sahaja serta interaksi yang sangat terhad dengan manusia di luar alam maya. Malah ibu bapa yang sering mendedahkan dan menceritakan kepada anak dengan kisah khayalan berkaitan hantu dan jin, terlalu asyik dengan animasi dan kartun akan mengakibatkan mereka dibayangi rasa takut dan alam khayalan.

    Untuk memulihkan situasi anak yang berhadapan dengan perasaan takut yang melampau, seharusnya ibu bapa mengambil langkah seperti disarankan dalam Islam. Iman yang kukuh mampu menangani situasi ini, dengan melakukan amal ibadat kepada Allah SWT agar dapat ditanam keyakinan dalam diri anak bahawa mereka hanya takut kepada Allah semata-mata.

    Apabila berhadapan dengan ujian dalam hidup, diharapkan mereka tidak lagi takut menghadapi manusia dan jawatan. Sebaliknya hanya Allah yang menjadi sumber kekuatan dan keberanian untuk menangani permasalahan hidup serta mengelakkan mereka daripada melakukan kemaksiatan sehingga terhumban ke dalam neraka.

    Sesungguhnya manusia itu diciptakan Allah secara fitrahnya berada dalam keadaan berkeluh kesah dan serba salah apabila dilanda ujian. Namun sekiranya dikurniakan harta dan kesenangan, mereka terdorong bersikap kedekut, melainkan orang yang tetap amal ibadatnya kepada Allah. Selain itu, untuk mengelakkan anak dibelenggu ketakutan, ibu bapa perlu memberi ruang kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri dan memikul tanggungjawab mengikut kadar perkembangan dirinya seperti pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya, bahawa setiap dalam kalangan manusia adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang di bawah pimpinannya.

    Perkara lain perlu diberi perhatian ialah jangan sesekali menakut-nakutkan anak dengan hantu, jin dan orang yang jahat, terutama ketika mereka sedang menangis dengan tujuan menghentikan dirinya daripada terus menangis kerana perbuatan itu hanya akan menambahkan ketakutan dalam diri anak.

     

    Berkomunikasi

    Sewajarnya perlu diingatkan kepada anak bahawa orang Mukmin yang kuat dan berani lebih baik di sisi Allah berbanding manusia lemah. Mereka juga digalakkan bergaul dengan komunikasi yang berkesan dalam kalangan anak yang lain sejak usia mereka masih kecil dan memberi peluang untuk mereka sering bertemu dan kenal-mengenali di antara satu sama lain. Situasi ini akan membentuk sifat diri penyayang, berkeyakinan tinggi dan boleh dipercayai dalam kalangan kenalannya, malah dapat mengelakkan terjebak dalam gejala buli yang kini semakin berleluasa.

    Rasulullah SAW menjelaskan orang Mukmin adalah orang yang mesra, memudahkan urusan orang lain dan Baginda sendiri tidak menyukai umatnya yang sukar didekati atau tidak suka bergaul dengan orang lain. Malah sebaik-baik manusia ialah mereka yang mendatangkan manfaat kepada orang lain.

    Bagi membina keberanian dalam diri anak, mereka perlu diceritakan sirah peperangan Rasulullah agar dapat mengenali dengan lebih dekat tokoh yang berada di sebalik peperangan walaupun pada ketika itu masih berusia belasan tahun dan gugur syahid di jalan Allah. Semoga keberanian itu mampu dijadikan contoh kepada anak-anak yang bakal mengharungi cabaran yang menanti di sepanjang perjalanan kehidupan mereka kelak – IKIM

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



    Scroll Up