• Carian
  • Media Sosial
  • Kenal Tuhan Dan Mesra Dengan Rakan Mampu Atasi Penyakit Depresi

    Posted by fatty | 12 January 2018 | 3

     

    Masalah depresi ini bukanlah sesuatu perkara yang boleh dibuat main-main dan diambil mudah. Jika tidak dibendung dari awal ia boleh menyebabkan seseorang yang mengalami depresi itu mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat hidupnya sendiri.

    Perkara itu dilakukan oleh sesetengah individu yang mengalami depresi apabila merasakan menamatkan riwayat itu sahaja jalan yang dapat menyelesaikan segala masalah mereka.

    Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid memberi penjelasan tentang penyakit depresi ini dan cara untuk mengatasi penyakit ini. Malah, Ustaz Don mendedahkan turut terkesan dengan kematian vokalis kumpulan Linkin Park, Chester Bennington yang mengambil keputusan untuk membunuh diri.

    Beliau berkata, dirinya masih berfikir dan tertanya-tanya mengapa vokalis itu merasakan membunuh diri adalah jalan terbaik sedangnya dia mempunyai anak-anak yang ramai.

    “Ia buat saya fikir banyak kali kenapa dia ambil keputusan macam itu, apa ada dalam fikiran dia, apa yang buat dia rasa itu jalan terbaik sedangkan ada anak-anak yang ramai,” katanya.

    Katanya, dalam Islam apabila berlaku semua perkara ini kita perlu tanya iman. Walaupun iman itu sesuatu benda yang tidak nampak tetapi ia sangat penting.

    “Allah beritahu awal-awal dalam Al-Quran tentang kepercayaan kepada perkara ghaib, percaya kepada benda-benda tak nampak dan beriman bahawa Allah mencipta manusia sebaik-baik ciptaan. Antara ciptaan manusia yang ada di dalam (tubuh) yang tak nampak, iaitu perasaan dan hati. Memang kita bukan buta di mata tapi buta di hati. Itu respon pertama saya apabila depresi ini berlaku.” katanya.

    Selain itu, beliau berkata punca-punca depresi ini berlaku apabila seseorang itu tidak mempunyai hati yang tenang. Tidak dapat memenuhi kemahuan yang diinginkan sedangkan diri sendiri tidak tahu apa yang dimahukan dalam hidup.

    “Tidak mahir dengan ilmu qada’ dan qadar bila berlaku tekanan, seseorang itu tidak faham tentang takdir hidup dan cara untuk menghubungkan perkara tersebut ke arah lebih baik. Malah bila berlaku mereka akan cepat tertekan,” jelasnya.

    Ustaz Don berkata jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah depresi ini terutamanya umat Islam adalah kenal siapa pencipta. Ketahuilah apa tujuan kita dicipta di muka bumi ini, adakah ia sekadar pelakon di atas pentas dunia?

    Tambahnya lagi, seorang yang mengalami depresi mesti mempunyai teman, Nabi Musa walaupun disifatkan sebagai yang hebat dan ganas pun meminta Allah untuk memberikanya teman, “Ya Allah, tolong jadikan kepada aku teman.”

    “Kalau saya boleh kaitkan dengan mendiang Chester Bennington. Dia ada kawan tak? Ada. Tapi yang bunuh diri sama macam dia juga. Sebab ada kawan macam itu mendorong diri dia jadi seperti kawannya. Orang depresi ni, kena fikir siapa diri dia dan pergi majlis ilmu. Kemudian, kena ada kawan dan guru. Depresi tak ada ‘face’ untuk tunjuk dekat orang. Ia ada dalam hati. Jadi, pi berkawan jangan duk sorang-sorang,” pesan Ustaz Don. –utaranews

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



    Scroll Up