• Carian
  • Media Sosial
  • Kenaikan Harga Tambang Feri Langkawi Atas Arahan Seseorang?

    Posted by editor | 3 January 2018 | 1:03 pm | 195

    GAMBAR HIASAN

     

    KEMERIAHAN tahun baharu 2018 akhirnya sedikit ‘tercalar’ khususnya di Langkawi apabila berita kenaikan tambang feri tular melalui media. Pada hari yang sama jugalah netizen mula menyatakan rasa tidak puas hati dan lebih teruk daripada itu, mereka cuba mempersalahkan pihak pemerintah.

     

    Apabila dilakukan siasatan lanjut, ia mendapati kenaikan RM3 berkenaan adalah berpunca daripada caj pengurusan yang dilakukan oleh pihak pengusaha perkhidmatan feri di Langkawi sendiri.

     

    Dengan kata lain, tiada sebarang arahan atau keputusan oleh pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pengangkutan Malaysia mengenai kenaikan caj tersebut.

     

    Walaupun ia tidak melibatkan rakyat yang memiliki alamat di Langkawi, namun ia tetap mencemarkan nama baik kerajaan setelah berita itu cuba dipropagandakan sebagai salah satu berita politik.

     

    Mujur akhirnya cas tambahan RM3 itu dibatalkan semula, dan pengguna kini kembali menikmati harga tambang yang lama iaitu RM23 (kanak-kanak RM17) dari Kuala Kedah, dan dari Kuala Perlis ke Langkawi sebanyak RM18 (bagi kanak-kanak RM13).

     

    Yang menjadi persoalan terbesarnya adalah siapa punca kepada perkara ini terjadi?

     

    Tidak mustahil ada individu yang berpengaruh dalam kalangan ‘tokey-tokey’ bisnes di daerah itu telah mencatur perkara ini secara diam-diam. Tidak mustahil individu berpengaruh itu dengan sengaja cuba untuk berniat jahat terhadap pemerintah.

     

    Jika sebut tentang individu berpengaruh dalam kalangan ‘tokey-tokey’ bisnes ini khususnya di Pulau Bebas Cukai tersebut kita tidak boleh lari dengan mereka yang pernah memegang kuasa dan pembuat keputusan dalam kerajaan.

     

    Dengan mengambil kira akan masa pulau itu dibangunkan sejak 1987, maka siapakah yang telah lama membentuk pengaruh diri dalam kalangan ‘tokey-tokey’ bisnes di daerah tersebut?

     

    Takkanlah Datuk Sri Najib Tun Razak yang baru hanya 8 tahun berkuasa? Atau mereka yang telah lama berpuluh tahun menjadikan pulau itu sebagai salah satu kawasan kehidupannya sendiri? Persis kampung sendiri?

     

     

    Kita tidak mahu menuduh sesiapa atau memfitnah sesiapa, namun Langkawi memang sudah terkenal sebagai sebuah pusat pelancongan yang mula dibangunkan sejak pemerintahan Perdana Menteri keempat lagi. Daripada sebuah kawasan pulau terbiar dan tiada apa-apa, Kerajaan Pusat sejak 1987 telah mula membangunkan pulau itu menjadi sebuah pusat pelancongan terkenal dunia.

     

    Dalam proses dan perjalanan membentuk sebuah pulau usang menjadi hebat, tidakkah kita terfikir akan ada pihak-pihak tertentu yang telah terhutang budi dan berasa berterima kasih kepada sang penguasa pada waktu itu? Dek kerana ihsan sang penguasa, mungkin pihak-pihak ini (baca tokey-tokey bisnes) mampu membesarkan perniagaan mereka sehingga menjadi jutawan.

     

    Oleh yang demikian tidak mustahil apa sahaja yang diminta oleh sang penguasa (mungkin kini bekas penguasa) kepada mereka akan dituruti walaupun sudah tidak lagi memegang kuasa. Selain dari menabur budi dan tanda terima kasih, ia juga sekali gus dapat menambah keuntungan kepada bisnes sendiri dengan menambah caj RM3 kepada penumpang.

     

    Fikirlah dengan tenang dan logik. Manusia yang pernah duduk di puncak kuasa dengan begitu lama dan ingin kembali berkuasa akan berani dan sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan musuhnya (mungkin pemerintah sedia ada) berjaya digulingkan. Cara mudahnya dengan membiarkan rakyat di Malaysia marah kepada ketua pemerintah. –Tv14

     

     

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up