• Carian
  • Media Sosial
  • Ucapan Najib Beri Amanat Jelas Perpaduan, Prasyarat UMNO Menangi PRU14

    Posted by editor | 7 December 2017 | 3

     

    Ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan amanat jelas kepada barisan kepimpinan dan anggota parti untuk mengukuhkan perpaduan, satu prasyarat penting bagi UMNO memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan perdana menteri, yang menjalankan tugas timbalan presiden itu berkata ucapan perdana menteri menekankan supaya seluruh anggota parti mengetepikan perbalahan dalaman, sekali gus membolehkan UMNO, yang menerajui Barisan Nasional (BN), mencapai matlamat untuk menang dua pertiga dan mengekalkan milik pentadbiran di Putrajaya pada PRU14.

    “Jika elemen (perpaduan) itu diperkasakan dan ditambah dengan sokongan parti-parti komponen, BN akan dapat mengetuk hati dan minda pengundi-pengundi atas pagar,” katanya pada sidang media bersama seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas perasmian perhimpunan tahunan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

    Merujuk ucapan dasar Najib, yang memakan masa selama satu jam 40 minit, dan merangkumi tujuh segmen penting, Ahmad Zahid berkata ucapan itu meletakkan keutamaan untuk menggarap kesepaduan dan memperkasakan jentera parti bagi mengelak UMNO berada di persimpangan.

    “Beliau (Presiden UMNO) mengingatkan jika BN kecundang maka harga yang dibayar adalah mahal dan bagi mengelakkan keadaan itu, kita harus mengambil tindakan-tindakan yang beliau sebutkan,” katanya.

    Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan parti, Ahmad Zahid berkata beliau akan terus menggerakkan jentera parti di peringkat negeri, Parlimen dan pusat daerah mengundi (PDM).

    “Kita telah berada dalam kedudukan yang mana kita tidak berjaya mencapai majoriti dua pertiga dalam dua PRU yang lepas, jadi kita meletakkan usaha kita dengan bijak untuk mendapat majoriti dua pertiga pada PRU14,” katanya.

    Sementara itu, Hishammuddin berkata rakyat mempunyai dua pilihan sama ada memilih BN atau pembangkang, jadi apa yang dibentangkan oleh Najib bukan sahaja menyuntik semangat tetapi juga satu kad laporan kepada perwakilan UMNO dan rakyat secara keseluruhannya.

    “Kad laporan ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat tetapi ia terbukti. Ia bukanlah cara mudah ke hadapan tetapi ia tidak mustahil dalam meyakinkan pengundi,” katanya.

    Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap berkata kebijaksanaan, kematangan dan suasana yang cukup bersemangat pada perhimpunan ketiga-tiga sayap UMNO semalam telah dibawa ke perhimpunan agung hari ini.

    Beliau berkata Najib turut mengingatkan perwakilan agar memastikan momentum itu diteruskan ke peringkat bahagian, cawangan dan PDM masing-masing bagi merealisasikan sasaran dan perancangan untuk memenangi PRU14, serta mendapat mandat membentuk kerajaan pusat.

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up