• Carian
  • Media Sosial
  • Hayati Saranan Presiden UMNO Keluar Zon Selesa – Zakaria

    Posted by editor | 7 December 2017 | 2

     

    Anggota UMNO harus menghayati saranan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak supaya setiap anggota parti bangkit daripada zon selesa dan bersiapsiaga menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Zakaria Edris.

    Beliau berkata ini penting bagi menentukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan mutlak, sekali gus mengekalkan tampuk kekuasaan pemerintahan negara.

    “Kita tidak boleh berada dalam zon selesa selamanya, kita perlu bangkit demi kelangsungan perjuangan UMNO supaya ia kekal relevan,” katanya mengulas Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

    Zakaria berkata kebangkitan daripada zon selesa dapat menjamin parti bertahan menghadapi serangan pembangkang.

    Untuk itu, katanya, anggota parti semua peringkat perlu berfikiran terbuka dalam berhadapan perubahan globalisasi, sesuai dengan tuntutan menuju Transformasi Nasional (TN50).

    Beliau turut menghargai pengiktirafan pucuk pimpinan terhadap kekuatan UMNO Sabah sebagai negeri mempunyai keanggotaan teramai, sekali gus menjadi suntikan semangat untuk terus mengekalkan negeri itu sebagai penyumbang utama kemenangan majoriti dua pertiga dalam PRU-14.

    Zakaria berkata sebagai kubu kuat UMNO dan BN, Sabah mampu mengekalkan momentum sokongan rakyat sebagaimana dibuktikan dalam pilihan raya umum sebelum ini.

    Katanya, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berjaya meletakkan UMNO Sabah pada kedudukan terbaik, berjaya melepasi pelbagai cabaran dan halangan.

    Zakaria yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, turut menyifatkan gandingan kepimpinan Najib-Zahid sebagai terbaik untuk membawa UMNO dan BN ke mercu kegemilangan dalam PRU14.

    Zakaria berkata kedua-dua pemimpin itu bukan saja sudah membuktikan keupayaan mengangkat martabat negara ke persada tertinggi, tetapi juga digeruni pembangkang atas kebijaksanaan menangkis isu-isu politik kepartian.

    Justeru itu, beliau yakin UMNO dan BN tidak mempunyai masalah untuk kekal sebagai tonggak pemerintahan negara biarpun berhadapan asakan-asakan parti lawan.

    Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Datuk Hamisa Samat pula menyifatkan ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai peringatan serius tentang pentingnya anggota UMNO menumpahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan pemimpin.

    Beliau berkata kesetiaan kepada pemimpin dan perjuangan parti merupakan faktor utama kekuatan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Menurut beliau, anggota UMNO perlu menghayati ucapan presiden yang menekankan parti itu bakal berdepan pelbagai cabaran dan serangan pihak pembangkang menjelang PRU14.

    “Pada pandangan saya, penekanan ucapan presiden terhadap sikap ‘wala’ (kesetiaan) cukup-cukup memberikan makna yang sungguh besar untuk difahami dan dihayati oleh para perwakilan serta kepimpinan UMNO sama ada di peringkat tertinggi mahupun di peringkat akar umbi,” katanya.

    Hamisa berkata demikian ketika mengulas ucapan dasar presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

    “Kita akur dengan pucuk kepimpinan parti…sesiapa saja yang dipilih sebagai calon PRU14 kita sokong, yang penting calon itu diterima oleh rakyat,” katanya.

    — BERNAMA

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up