• Carian
  • Media Sosial
  • Didik Anak Mengikut Sunah Rasulullah

    Posted by suzein-yana | 5 December 2017 | 3

     

     

    Bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik dan menjaga keperluan anak. Justeru, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm menerangkan pentingnya ibu bapa memberi didikan mengikut sunah Rasulullah dan menghalang anak daripada terpengaruh budaya Barat yang merosakkan.

    Tanggungjawab sebagai suami dan bapa adalah amanah besar bagi setiap lelaki yang berkeluarga. Menjadi kewajipan bapa memberi makanan, minuman dan pakaian serta menafkahkan harta untuk anak dan isteri.

    Malah, bapa dilarang sama sekali untuk melepaskan tanggungjawab menyara keluarga kepada isteri. Setiap anak dikurniakan rezeki oleh Allah SWT, maka ia perlu diuruskan sebaiknya oleh ketua keluarga.

    Keberkatan rezeki lebih besar bagi seorang bapa apabila digunakan untuk menyara hidup anaknya, berbanding perbelanjaan sama digunakan untuk bersedekah kepada orang lain, digunakan ke jalan Allah SWT atau memerdekakan hamba.

    Perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati turut memberi penekanan terhadap peranan bapa dalam memberi didikan kepada anak berkaitan ilmu kesihatan, termasuk hal makan minum, tidur dan lain-lain supaya membentuk adab serta tabiat yang baik sepanjang tempoh pembesaran mereka.

    Didik anak mengikut sunah Rasulullah SAW dalam hal makan dan minum seperti tidak makan terlalu banyak atau kenyang, serta jangan tidur berlebihan. Selain itu, turut dilarang bernafas di dalam gelas ketika minum, tidak minum berdiri serta tidak menghabiskan minuman sekali gus.

     

    Didik ikut sunah

    Sebaiknya meneguk dua hingga tiga kali setiap kali meminum air dan dimulakan dengan bismillah. Apabila sudah kenyang atau sendawa, ucapkanlah tanda syukur dengan memuji Allah SWT.

    Ketika tidur sekalipun, Rasulullah SAW menyarankan mengiringkan badan ke kanan kerana tidur mengiring ke kiri akan mendatangkan mudarat ke atas jantung serta menyesakkan pernafasan.

    Digalakkan berwuduk sebelum tidur dan berdoa memohon keampunan serta dipelihara Allah SWT kerana jika ditakdirkan menemui ajal ketika sedang tidur, mereka akan kembali mengadap Allah SWT dalam keadaan fitrah dan bersih.

    Tanggungjawab lain yang perlu ditunaikan ibu bapa ialah memelihara keluarga daripada dijangkiti penyakit. Elakkan berada di kawasan yang berisiko dan tempat merebaknya penyakit berjangkit atau berada dalam kalangan perokok.

    Selain itu, halang anak daripada mengunjungi tempat maksiat, melayari internet tanpa batasan atau memiliki telefon pintar dan gajet yang akhirnya akan menyebabkan hilang kawalan oleh ibu bapa yang membuka peluang mereka melayari bahan lucah.

    Keadaan itu akan mengakibatkan ketagihan sehingga memudaratkan kesihatan mereka dan tidak mampu menjadi generasi yang mempunyai ketahanan kuat untuk membela agama dan negara.

    Apabila anak dan isteri menghidap penyakit yang mampu dilihat serta dianalisis atau penyakit dalaman berkaitan gangguan, suami bertanggungjawab mencari rawatan untuk mereka.

     

    Biasakan anak bersukan, aktif

    Daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat mengenai penyakit itu, Allah akan menyembuhkannya dengan izin daripada-Nya.”

    Bapa juga hendaklah membiasakan anak bersukan dan aktif dalam program kemasyarakatan. Galakkan mereka berani melakukan sesuatu yang membawa kepada kebaikan dan menyuarakan kebenaran. Elakkan sifat malu yang keterlaluan.

    Berikan dorongan kepada mereka untuk mendekati alim ulama kerana ia amat digalakkan dalam Islam. Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya, tidak ada pada sesuatu perkara yang dikaitkan dengan zikir kepada Allah SWT dianggap melalaikan kecuali pada empat perkara.

    Empat perkara itu termasuk mengajar anak kemahiran memanah dan teknik menunggang kuda. Bergurau senda dengan isteri dan anak serta mengajar mereka berenang juga dianggap sebagai berada dalam situasi berzikir kepada Allah SWT.

     

    Didik tidak bermewah

    Biasakan anak hidup dalam suasana penuh dengan ketegasan dan beri perhatian terhadap apa yang dilakukan. Malah, biasakan mereka tidak terlalu bermewah dan diajar dengan akhlak yang baik.

    Anak perlu mempunyai matlamat dan tujuan dalam hidup yang dapat membentuk sifatnya sebagai lelaki atau perempuan yang baik. Setiap perkara yang mereka lakukan perlu ditetapkan matlamat dan fokus untuk mencapai sesuatu.

    Bimbing mereka mengelakkan sikap suka bertangguh melakukan sesuatu amalan atau meniru perkara yang mendorong kepada keruntuhan akhlak dan moral. Rasulullah SAW berpesan supaya menjaga perkara yang berfaedah dan memohon bantuan Allah SWT untuk memiliki semangat kuat meneruskan kehidupan – IKIM

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



    Scroll Up