• Carian
  • Media Sosial
  • ‘Al Fatihah Buat Allahyarham Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)’

    Posted by editor | 16 November 2017 | 10:49 am | 626

     

    JIKA menurut DAP, situasi di negeri Johor sudah dianggap ‘ranum’ dan inilah masanya untuk ia dinikmati oleh Pakatan Harapan. Perkara itu disebut pada 22 Ogos 2017 lalu ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan dirinya dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Johor.

    Namun itu beberapa bulan sebelum. Situasi sekarang amat ketara bezanya. Mungkin sebelum bulan Ogos 2017, Pakatan Harapan khususnya DAP di Johor mampu gugat kedudukan Barisan Nasional (BN) Johor.

    Bagaimanapun, selepas Muhyiddin diangkat menjadi ketua Pakatan Harapan Johor, maka situasi politik negeri sudah terbalik 360 darjah.

    10 bahagian PPBM di Johor telah mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kegagalan kepimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti. Ia berkait rapat tentang kegagalan semua peringkat cawangan dan bahagian PPBM mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) selepas setahun ia ditubuhkan.

    Jika dilihat PPBM ini telah diluluskan pendaftarannya pada 2 September 2016 oleh ROS. Dan mengikut Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, satu Mesyuarat Agung peringkat cawangan dan bahagian wajib diadakan selepas setahun PPBM ditubuhkan secara rasmi.

    Apabila disoal, pucuk pimpinan PPBM menjawab mereka hanya melakukan sambutan ‘birthday‘ parti sahaja dan diakui masih gagal melakukan AGM untuk tahun pertama.

    Bukan di Johor saja, situasi yang sama turut berlaku di PPBM Perak. Empat Ketua Penajanya bersama-sama para pengikut yang mencecah ribuan ahli telah bertindak keluar PPBM.

    Itu tidak termasuk lagi beberapa pengumuman keluar parti oleh barisan kepimpinan sayap parti iaitu Armada dan Srikandi di Perak.

    Alasan mereka, pucuk pimpinan PPBM telah gagal dan hanya lebih mementingkan kroni untuk berkuasa berbanding akar umbi sendiri.

    Seperti biasa, apabila ditanya mengenai kain sendiri yang koyak, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyalahkan pihak lain dan belagak seolah-olah dia ‘maha suci’ dari sebarang dosa serta onar.

    Mahathir menyalahkan struktur parti di peringkat bahagian dan cawangan yang masih belum selesai sebagai punca mengapa PPBM tidak dapat melakukan AGM walaupun telah melanggar Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984.

    Sebenarnya Mahathir sendiri sudah tidak mampu mentadbir sebuah organisasi picisan sebegitu di usianya kini menjangkau 92 tahun. Dia asyik sibuk kehulu kehilir seluruh negara memburukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri.

    Sehingga dia sendiri tertinggal kerja-kerja yang wajib dia langsaikan dalam parti sendiri.

    Inilah petanda awal bahawa PPBM sudah sampai ke tarikh luput dan acara pengkebumiannya. Walaupun ia tidak akan diakui oleh Mahathir dan Muhyiddin, namun qada’ dan qadar akan menunjukkan kepada kita bahawa PPBM akan terkubur di bumi bertuah ini.

    Justeru itu, marilah sama-sama kita sedekahkan Umul Kitab Al Fatihah buat ‘Allahyarham PPBM‘. –Tv14

     

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up