• Carian
  • Media Sosial
  • UniSHAMS Nama Baharu KUIN

    Posted by editor | 14 November 2017 | 13

     

    Kolej Unversiti Insaniah (KUIN) akan mengemukakan permohonan untuk pendaftaran sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah (UniSHAMS) pada Januari ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain, berkata permohonan itu antara usaha untuk membolehkan status KUIN selaku institusi pendidikan tinggi di bawah kerajaan negeri, dinaik taraf sebagai universiti.

    Beliau berkata, KUIN sudah memenuhi empat daripada lima syarat yang ditetapkan untuk didaftarkan sebagai universiti yang akan dikenali dengan nama UniSHAMS.

    “Syarat yang dipenuhi KUIN ketika ini termasuklah berkaitan pengekalan status akreditasi penuh bagi kursus yang mengalami masalah pematuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), serta tahap kebolehpasaran graduan mencapai 70 peratus.

    “Dua lagi syarat membabitkan 80 peratus kakitangan akademik berkelulusan sarjana dan 30 peratus daripada kos pengoperasian ditempatkan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya menjawab soalan lisan Md Zuki Yusof (PAS-Kuala Ketil).

    Mengenai baki satu lagi syarat yang wajib dipatuhi KUIN, Tajul Urus berkata, membabitkan bilangan pelajar antarabangsa yang harus mencapai 20 peratus seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

    “Pada masa ini, KUIN mempunyai enam peratus pelajar antarabangsa dan memerlukan kira-kira 300 pelajar antarabangsa lagi bagi mencapai tahap 20 peratus yang ditetapkan.

    “Selepas memenuhi semua syarat ditetapkan, kita jangkakan KUIN akan mengemukakan permohonan pendaftaran UniSHAMS pada awal Januari depan,” katanya.

    Beliau berkata, untuk mencapai tahap 20 peratus jumlah pelajar antarabangsa, KUIN kini menjalankan beberapa langkah termasuklah meluluskan pakej penawaran istimewa dengan kadar diskaun 50 peratus yuran bagi sembilan program pasca siswazah.

    “Pakej penawaran istimewa itu hanya terbuka sehingga 300 orang pelajar antarabangsa dari Thailand dan Indonesia sahaja, sehingga KUIN memperoleh kelulusan pendaftaran UniSHAMS.

    “KUIN juga mempromosi ke selatan Thailand dan Indonesia pada hujung Oktober lalu dan awal November ini.

    “Setakat ini, KUIN menerima 115 pelajar dari selatan Thailand serta 108 pelajar dari Indonesia bagi program peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD),” katanya.

     

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up