Kedua-dua syarat ini juga penting untuk menentukan sesebuah tarekat tasawuf itu adalah benar dan memiliki keberkatan. Tanpa kedua-duanya, ia bakal menyebabkan murid yang mengamalkan tarekat itu terperangkap dalam amalan sia-sia kerana hilang keberkatan dalam pelbagai amalan dilaksanakan bawah bimbingan sheikh yang terputus salasilah dan tiada keizinan.

Konsep salasilah sebenarnya terhubung secara rapat dengan sheikh yang disebut juga sebagai salasilah sheikh. Oleh kerana institusi tarekat tasawuf mengaku bahawa dasar-dasar doktrin dan pengamalan sesebuah tarekat itu berasal daripada Rasulullah SAW, maka para pengamalnya menganggap amat penting sekali turutan nama guru tarekat secara turun temurun. Rantaian hubungan para sheikh dari satu generasi ke satu generasi itulah yang dinamakan sebagai salasilah.