• Carian
  • Media Sosial
  • Honduras Tuduh Australia Intip Sesi Latihan Guna Dron

    Posted by suzein-yana | 14 November 2017 | 2

     

     

    Honduras menuduh Australia mengintip sesi latihan mereka menggunakan dron semalam, ketika ketegangan memuncak menjelang aksi genting playoff Piala Dunia, esok.

    Persekutuan Bolasepak Nasional Honduras (Fenafuth) mengepos dalam Twitter rakaman 18 saat dron terbang di sekitar Stadium Olimpik, Sydney, tempat pasukan itu berlatih selepas penerbangan panjang dari Amerika tengah.

    “Australia mengintip sesi latihan rasmi Honduras menggunakan dron, menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan pasukan Honduras dan delegasi,” tulis Fenafuth dalam laman Twitter.

    Honduras berdepan Socceroos di stadium itu malam esok bagi aksi kedua playoff antara benua ketika kedudukan terikat 0-0 daripada aksi pertama di San Pedro Sula, hujung minggu lalu.

    “Kami tidak terbabit,” kata seorang jurucakap Persekutuan Bolasepak Australia (FFA).

    Bos Honduras, Jorge Luis Pinto turut berbalah dengan media pada awal sesi apabila beliau cuba membuat latihan secara tertutup sebelum membukanya selama 15 minit mengikut peraturan FIFA.

    “Mereka patut menghormati kami, kami menghormati mereka di Honduras jadi mereka perlu menghormati kami di sini,” jeritnya dalam bahasa Sepanyol kepada jurugambar.

    Pinto, pengendali dari Colombia turut mendedahkan di Sydney bahawa seseorang dalam media Honduras membocorkan butiran taktikal kepada Australia, lapor penyiar Televicentro.

    Menurut akhbar Honduras, La Prensa, pengurusan pasukan Honduras menghantar dron mereka sendiri pada 2016 bagi memastikan tiada pihak tidak bertanggungjawab memantau sesi latihan mereka – Reuters

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



    Scroll Up