• Carian
  • Media Sosial
  • Program PERMATA Insan Akan Diperkasakan Oleh Pakar Pendidikan Pintar

    Posted by editor | 12 October 2017 | 5

     

    Aspek falsafah pendidikan, kurikulum dan strategi pengantarabangsaan program PERMATA Insan, antara isu yang dibincangkan dalam Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa PERMATA Insan.

    Mesyuarat yang diadakan buat julung kali di Kolej PERMATA Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, dipengerusikan oleh isteri Perdana Menteri, yang juga Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad, berkata mesyuarat itu juga menjadi wadah bagi ahli panel mengiktiraf pendidikan pintar berbakat Islam dan mengangkat taraf program PERMATA Insan ke peringkat antarabangsa.

    Selain itu katanya, agenda yang dibincangkan termasuk mendepani cabaran arus perdana pendidikan masa hadapan serta meneroka jalinan strategik PERMATA Insan bersama institusi pendidikan dan universiti luar negara.

    “Ini bertujuan untuk membuka ruang kerjasama PERMATA Insan untuk melaksanakan pelbagai program membabitkan pelajar dan tenaga pendidik berkaitan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik serta integrasi ilmu aqli dan naqli (dunia dan akhirat),” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa PERMATA Insan di sini, hari ini.

    Musa berkata, mesyuarat yang dijangka diadakan setiap dua tahun itu, bakal menjadi asas kukuh untuk meletakkan hala tuju perkembangan program PERMATA Insan dalam memastikan lebih ramai generasi Islam di negara ini diasuh dengan pendidikan berpandukan al-Quran dan Sunnah.

    Katanya, penubuhan panel penasihat antarabangsa yang melantik pakar pendidikan pintar berbakat dan tokoh pemikir pendidikan Islam kontemporari, diharap dapat memperkasakan program PERMATA Insan ke tahap pendidikan lestari.

    “Saya juga berharap panel ini dapat menilai, menasihat dan menambah baik perjalanan program sedia ada,” katanya.

    Panel penasihat PERMATA Insan termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Perunding Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Prof Emerita Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Prof Kosugi Yasushi dari Universiti Kyoto, Jepun dan Hamza Yusuf dari Kolej Zaytuna, Amerika Syarikat.

     

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up