• Carian
  • Media Sosial
  • Aplikasi Harga Barang, Kedai Harga Patut November Ini

    Posted by editor | 12 October 2017 | 5

     

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mewujudkan aplikasi khas yang menyenaraikan paparan harga barangan keperluan harian dan kedai harga patut di seluruh negara.

    Menteri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pengguna boleh memanfaatkan aplikasi berkenaan yang akan dikemas kini setiap hari bagi mengetahui kedai di seluruh negara yang menawarkan harga rendah dan berpatutan.

    Beliau berkata, pihaknya kini dalam fasa terakhir termasuk mengemas kini dan melakukan proses penambahbaikan ke atas aplikasi itu sebelum ia diperkenalkan kepada orang ramai.

    Katanya, aplikasi paparan harga itu akan dilancarkan secara besar-besaran pada 1 November ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    “Aplikasi berkenaan bukan sahaja memaparkan harga barangan keperluan harian yang rendah yang dijual setiap hari tetapi juga senarai pasar raya atau kedai yang menjualnya supaya pengguna boleh membuat perbandingan.

    “Ia juga turut menyediakan ruangan interaktif untuk pengguna mengemukakan cadangan dan juga aduan,” katanya pada majlis pelancaran Friends of KPDNKK peringkat Pahang, di Dewan Seri Mentakab di sini.

    Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said.

    Mengenai Friends of KPDNKK, Hamzah berkata, setakat ini, 800,000 sudah menjadi ahli program sukarela itu di seluruh negara.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu, 45,038 ahli Friends of KPDNKK bagi Pahang dan semua ahlinya menjadi mata dan telinga untuk melaporkan apa-apa isu berkaitan kepenggunaan secepat mungkin, sekali gus membolehkan masalah terbabit ditangani.

    Katanya, Pahang berjaya mencapai sasaran ditetapkan berkaitan keahlian FOK dengan mendaftarkan seramai 45,038 ahli setakat ini dengan setiap kawasan Parlimen berjaya melepasi sasaran masing-masing dengan jumlah yang besar.

    “Pahang adalah destinasi ke-11 dalam siri penjelajahan ke seluruh negara untuk memastikan pengguna sentiasa terbela dan dilindungi hak-hak mereka daripada kegiatan penyelewengan oleh peniaga.

    “Kegiatan seperti menyorok barangan jualan, pencatutan, penyeludupan serta aktiviti-aktiviti lain bukan sahaja melanggar undang-undang malah merugikan pengguna serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

    Hamzah berkata, majlis pelancaran itu dilaksanakan Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Sekretariat Hal Ehwal Pengguna Wanita Umno Negeri Pahang dengan kerjasama Skuad SMART Pengguna 1Malaysia yang bertujuan untuk memperkasakan suara pengguna.

     

     

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up