• Carian
  • Media Sosial
  • Wartawan Utusan Kongsi Penderitaan Yang Ditanggung Pelarian Rohingya Di Kem Pelarian Cox’s Bazar

    Posted by jane | 11 October 2017 | 11

     

    BERIKUT merupakan perkongsian pengalaman dicatat oleh bekas wartawan Utusan Malaysia, Syahril Abd Kadir yang kini berada di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.

     

    Beliau ke sana bersama beberapa rakan bagi melihat sendiri bagaimanakah kehidupan sebenar ribuan etnik Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman junta Myanmar di Rakhine.

     

    Semua catatan ini juga boleh dibaca di laman Facebook Syahril A. Kadir yang dikemas kini setiap hari oleh beliau dari semasa ke semasa.

     

    KAU RASA MEREKA MINTA JADI BEGINI?

     

     

    Ketika aku dan tiga sahabat yang lain termasuk dari EZ Qurban tiba di khemah pelarian Rohingya di Balukhali dan Kutupalong petang semalam, hujan lebat membasahi buminya.

     

    Jalan-jalan penuh dengan lumpur dan selut. Di sana sini anak-anak kecil menangis kelaparan, si ibu menggigil kesejukan dan si ayah mundar mandir tak tentu arah tujuan.

     

    Khemah usang kanvasnya bocor. Perigi digali airnya kotor. Yang sakit ubatnya tiada. Yang mati pula nisannya tak bertanda.

     

    Kita pula hanya gemar berpolemik. Kononnya Rohingya yang menempah derita, mereka bangsa yang patut menerima celaka. Kononnya sengsara ini mereka tempah sendiri. Tiada tempat untuk menumpang walau di bumi sendiri!

     

    Kau tahu tak apa perasaanku apabila mereka berbondong-bondong ke surau yang nak rebah ke bumi tiap kali masuk waktu. Kau tahu tak perasaanku setiap kali mereka mengambil wudhu dengan air yang kuning kehitaman. Kau tahu tak perasaanku kerana mereka tidak pernah menyalahkan Tuhan mereka walaupun hidup mereka tak pernah bahagia?

     

    Lebih empat jam kami berada di khemah pelarian itu. Tak seorang pun yang datang merayu-rayu. Tak seorang pun datang kepada kami menyembah dan meraih simpati. Namun kami tahu di hati mereka seolah-olah mahu menjerit, wahai Tuan, tolonglah kami!

     

    Wahai teman-temanku di tanah air. Di sini kami menyaksikan krisis kemanusiaan terburuk abad ini. Lebih 500,000 orang telah menyeberang bukit bukau dan berjalan kaki berhari-hari, yang didukung, yang bertongkat, yang dikendong, yang diangkat…malah ada yang ajalnya dijemput dulu sebelum sempat menjamah walau secubit nasi!

     

    Kau rasa mereka minta jadi begini?

     

    PENANTIAN YANG MENYEKSAKAN

     

     

    Apa yang korang tengok ini adalah deretan pelarian Rohingya yang beratur di tengah panas terik mentari demi sedikit sumbangan makanan dan keperluan.

     

    Adakalanya disebabkan jumlah yang berbaris terlalu ramai, mereka terpaksa berdiri hampir dua jam dalam keadaan lapar dan dahaga yang amat sangat.

     

    Namun mereka sudah tidak punya cara lain. Di rumah sendiri berhadapan dengan maut, di sini berhadapan dengan 1,001 kesukaran. Sesungguhnya berat mata memandang, berat lagi bahu yang terpaksa memikul.

     

    Allahu…

     

    KEBANJIRAN BAYI, KANAK-KANAK DAN KIT PERANCANG KELUARGA

     

     

    Antara perkara yang menarik perhatian aku bila menjejakkan kaki di khemah pelarian Rohingya tadi adalah kebanjiran kanak-kanak dan bayi di kawasan berkenaan.

     

    Jumlahnya bukan saja ramai, tetapi ayat paling tepat – TERLALU RAMAI!

     

    Risik punya risik, rupanya jumlah kanak-kanak dan bayi di khemah-khemah pelarian ini dikatakan telah mencecah hampir 60% daripada keseluruhan 500,000 pelarian yang ada, bayangkan!

     

    Dan sejak kemasukan pelarian beberapa bulan lalu, lebih 200 kelahiran telah dicatatkan dalam tempoh tak sampai sebulan dan ini memang memeningkan kerajaan Bangladesh.

     

    Di khemah pelarian ini, purata setiap keluarga ada 6 hingga 8 orang anak. Dan itu belum campur yang di dalam kandungan.

     

    Sehubungan itu aku diberitahu kerajaan Bangladesh sedang bercadang untuk mengagihkan kit perancang keluarga mengandungi pil perancang, kondom dan lain-lain kepada para pelarian ini agar kadar kehamilan dapat dikawal.

     

    Lain macam.

     

    MENUNAIKAN AMANAH TERUS KE TANGAN PELARIAN

     

     

    Sebelum aku sampai ke kem pelarian Rohingya ini ramai yang bertanyakan cara atau kaedah untuk menghulurkan bantuan terus ke tangan mereka, tanpa melalui orang tengah.

     

    Aku jadi serba salah. Pertama ini amanah yang berat. Keduanya di kem pelarian ini segala bantuan diuruskan oleh pihak tentera. Dalam erti kata lain, segala barangan/sumbangan perlu diserahkan pada pihak mereka dan mereka sendiri nanti akan membuat pembahagian.

     

    Ini bagi mengelakkan keadaan haru-biru kalau dibuat sendiri, maklumlah jumlah pelarian yang ada bukan sedikit.

    Bersama dalam team aku adalah pegawai dari EZ Fidyah iaitu Hafesz Firdaus dan Izzat Hassan.

     

    EZ Fidyah menyediakan perkhidmatan pengurusan pengagihan sedekah, fidyah, kaffarah, zakat dan wakaf. Ia bagi memudahkan urusan menyelesaikan denda akibat meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.

     

    Memandangkan ramai yang menunaikan fidyah dengan syarikat itu mahukan pelarian Rohingya ini dibantu, maka Hafez dan Izzat ambil keputusan untuk serah sendiri bahan makanan berupa beras kepada mereka. Alhamdulillah, setelah berbincang dgn pihak berkuasa kem, mereka bagi peluang dan kebenaran kepada kami untuk berbuat demikian. Tapi tak boleh lamalah.

     

    So dalam majlis ringkas tadi, kami berjaya menyerahkan sumbangan beras seberat 10 kilogram setiap satu kepada 90 buah keluarga. Ada 60 kilogram lagi kami akan agihkan kemudian.

     

    Jadi kalau korang nak tunaikan fidyah dan mahu ianya disalurkan kepada pelarian Rohingya, aku ada sertakan segala detail kat sini. InshaAllah dengan EZ Fidyah bantuan akan terus sampai ke golongan sasar.

     

    Tahniah Ez Fidyah!

     

     

     

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up