• Carian
  • Media Sosial
  • Tolak Hukum Jenayah Islam Seperti Membela Pengganas – Hadi

    Posted by fatty | 14 September 2017 | 4

     

    MEREKA yang menolak hukum jena­yah Islam seperti qisas, hudud dan takzir tidak menyedari bahawa tindakan mereka menentang hukum Allah itu seperti membela pengganas.

    Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun syarat-syarat hukum jenayah Islam itu sangat ketat tetapi ia cukup menakutkan bagi tujuan menentang keganasan secara mendidik dengan ilmu Allah.

    Beliau berkata, golongan itu tidak mahu menerima hakikat bahawa hukuman jenayah Islam itu merupakan satu ‘pembedahan’ bagi menyelamatkan masyarakat, tetapi mereka boleh pula menerima segala jenis pembedahan anggota jasad bagi menyelamatkan jasad seorang manusia yang sakit.

    “Kalangan seperti ini pada zaman dahulu ada yang bergelar ahli falsafah yang menolak adanya Tuhan. Apabila dia terdesak menghadapi bahaya tiada penyelamat, lalu fitrahnya percaya adanya Tuhan dan berdoa. Namun, setelah selamat dia kembali sombong lagi.

    “Merekalah yang me­­nolak rasul, menolak Kaabah sebagai tanda kiblat, menolak halal dan haram dalam makanan dan minuman, menolak hukum menutup aurat, menolak ayat-ayat al-Quran dan hadis.

    Adapun kalangan yang bercakap besar menghina Islam itu ‘loyar buruk’ sahaja atau ilmuwan syok sendiri. Sila siasat latar belakang pengajian dan akhlaknya walaupun berjela ijazah dimilikinya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau, ada dalam kalangan umat Islam di negara ini hanya mengaku Islam kerana takut kepada masyarakat umum.

    Namun, katanya, mereka mahukan Islam supaya tunduk kepada kemahuan akalnya yang lemah dan ilmunya yang masih sedikit.

    “Apa sangat mereka yang kerdil di Malaysia ini yang mengaku Islam kerana takutkan masyarakat umum jika dibandingkan dengan tokoh yang lebih besar telah menerima Islam seperti, Muhammad Asad dan Maryam Jamilah yang asalnya Yahudi, seniman Yusof Islam dan lain-lain yang mengkaji Islam secara perbandingan dengan mendalam dan ikhlas.

    “Terpulang kepada mereka yang merasa dirinya sangat bijak supaya muhasabah diri sekarang atau mahu menunggu sehingga tibanya hari kematiannya dan perkara yang dijanjikan itu betul atau tidak,” katanya.

    Sumber: Utusan

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



    Scroll Up