• Carian
  • Media Sosial
  • “Tuanku Yang Islamkan Kami Sekampung”, Tok Batin Suku Kensui

    Posted by editor | 13 September 2017 | 40

     

    Kenangan terindah buat 50 keluarga Orang Asli Ken Sieu dari Kampung Lubuk Legong apabila memeluk Islam di hadapan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sekitar 1986.

    Pengalaman manis ini telah dikongsikan oleh Tok Batin, Razali Kulim berkata, Almarhum baginda individu pertama mengislamkan masyarakat Orang Asli di kampung tersebut.

    “Bawah khemah sekitar jam 11.30 pagi di kampung inilah, baginda mengislamkan kami termasuk saya yang waktu tu masih belasan tahun,” ujarnya.

    Selain itu, Almarhum sentiasa ambil berat permasalahan masyarakat Orang Asli Ken Sieu.

    “Baginda melalui pegawai istana atau penghulu mukim selalu bertanya khabar termasuk beri bantuan makanan,” dan Almarhum selalu berpesan agar berpegang teguh dengan ajaran Islam.

    Katanya, pengalaman manis lebih 30 tahun itu masih diingati hingga hari ini.

    Sedikit fakta mengenai perkampungan orang asli suku Kensiu di Baling, Kedah.

    Kampung Lubuk Legong adalah satu-satunya perkampungan asal Orang Asli dari suku Kaum Kensui (kumpulan Negrito) di semenanjung Malaysia. Kampung ini terletak kira-kira 13 km dari Bandar Baling dan telah dikategorikan sebagai perkampungan pinggir bandar. Pekan yang terdekat ialah pekan Kampung Lalang yang jaraknya hanya 3 km serta dikelilingi oleh kampung-kampung Melayu lain.

    Keunikan dan juga daya tarikan utama masyarakat luar ke kampung ini ialah terdapatnya satu Kolam Rekreasi Air Panas, Ulu Legong. Kolam semulajadi ini telah dinaik taraf dan menjadi tarikan kepada pengunjung-pengunjung sekitar negeri Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang.

    Menurut kajian yang dilakukan oleh Dr. Iskandar Carey (1970), berdasarkan lawatan ke Perkampungan Orang Asli di Kampung Lalang sekitar tahun 1968 dan 1969, puak Kensiu ini telah mempunyai penempatan sendiri.

    Mereka juga dikatakan sebagai puak yang tertua sekali. Pada asasnya puak Kensiu ini dikatakan mempunyai pertalian keluarga di Kampung Rai, Yala, Thailand.

    Manakala berdasarkan maklumat lisan, masyarakat Kensiu ini berasal dari Kuala Kedau dan Ulu Legong. Semasa kemasukkan Jepun ke Tanah

    Melayu sekitar tahun 1941 dan 1942, puak Kensiu ini telah melarikan diri ke merata tempat di daerah Baling. Di antara yang dituju ialah ke Parit Panjang, Kampung Bendang Man di Sik, Kampung Sg. Celak dan Kampung Tiak di Kupang, Baling.

    Pada masa sekarang, penempatan yang dibina oleh kerajaan iaitu di Perkampungan Orang Asli Kampung Lubuk Legong telah mengumumkan ahli puak tersebut di satu tempat.

    Puak Kensiu ini telah menetap di sini sememjak 1957 di lot No. 3623 yang telah ditawarkan pada tahun 1958 sebagai Rezab Orang Asli iaitu dengan keluasan tanah sebanyak 428 ekar.

    Sumber: Sinar Harian, Cerita Pasai Kedah

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up