• Carian
  • Media Sosial
  • TPM Kenang Amanat Almarhum Sultan Kedah Bantu Najib Untuk Jaga Negara

    Posted by editor | 12 September 2017 | 25

     

     

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengimbau pesanan Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah agar membantu perdana menteri menjaga keharmonian dan keselamatan negara.

     

    Ahmad Zahid berkata Almarhum baginda bertitah demikian sebelum berangkat pulang ke Istana Anak Bukit selepas tempoh lima tahun berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong berakhir pada Disember 2016.

     

    “Saya kenali Almarhum baginda sewaktu menjadi Menteri Pertahanan, saya anjurkan LIMA (Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi), saya menghadap Almarhum tuanku dan baginda titah agar saya sediakan kemudahan lif di dewan masuk kerana tidak boleh naik tangga.

     

    “Almarhum baginda juga titahkan jemput semua kerabat Diraja Kedah untuk berangkat ke LIMA dan juga seluruh kepimpinan kerajaan negeri.

     

    “Ada banyak lagi pesanan Almarhum baginda yang agak peribadi untuk saya kongsikan… Almarhum baginda juga ada hasrat agar hubungan peribadi antara kami terus terjalin,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Abdul Halim di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

     

    Ahmad Zahid berkata Almarhum Sultan Abdul Halim juga seorang yang sangat berdisiplin, menepati waktu dalam sebarang keberangkatan dan sentiasa menghargai rakyat.

     

    “Sesibuk mana pun Almarhum baginda, akan sentiasa bersalaman dengan rakyat jelata yang beratur menyambut keberangkatan baginda (pada sesuatu majlis),” katanya. Almarhum Sultan Kedah mangkat pada 2.30 petang Isnin di Istana Anak Bukit pada usia 89 tahun selepas 59 tahun memerintah Kedah.

     

    Jenazah Almarhum baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar kira-kira 4 petang ini — BERNAMA

     

     

     

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up