• Carian
  • Media Sosial
  • PH Sudah Ada Senarai Calon PM – Dr Mahathir

    Posted by fatty | 9 September 2017 | 5

     

    Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Pakatan Harapan (PH) mempunyai beberapa calon yang mampu menjadi perdana menteri jika pakatan itu mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

    Pengerusi PH bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu-individu berkenaan dan parti mereka kerana bimbang mencetuskan kontoversi.

    “Kita ada beberapa calon tetapi kita tidak mahu terlalu menonjolkan mereka kerana banyak kontroversi mungkin tercetus dan sebagainya

    “Tetapi kita mempunyai ramai yang berkebolehan di Malaysia untuk menjadi perdana menteri,” katanya dalam temubual bersama CNBC semalam.

    Namun pendedahan Dr Mahathir itu dilihat berlawanan dengan hasrat PKR yang sering mempertahankan bahawa hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri.

    Ini bukan kali pertama Dr Mahathir menyatakan perkara sedemikian, sebelum ini ketika perwakilan di kongres nasional PKR 21 Mei lalu membawa sepanduk menyokong Anwar untuk jawatan perdana menteri.

    Dr Mahathir dilihat tidak memegang sepanduk “Anwar PM ke-7”, sebaliknya hanya merakam suasana itu melalui telefon bimbitnya.

    Beliau juga pernah menyatakan bahawa tidak akan menolak sekiranya diminta untuk menjadi perdana menteri sekali lagi, tetapi dengan syarat semua pemimpin dalam PH bersetuju.

    Pada 26 Mei, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa Dr Mahathir tidak membantah Anwar dinamakan sebagai pilihan PH untuk jawatan perdana menteri.

    Pada 13 Jun, Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkeras Anwar bakal perdana menteri pilihan PH tetapi hanya akan menjadi perdana menteri yang ke-8 bukan ke-7 kerana beliau berada di penjara dan dilarang memegang jawatan awam selepas dibebaskan nanti melainkan diampunkan.

    Ekoran percanggahan yang disiarkan melalui media mengenai hal itu, Anwar yang sedang melalui hukuman penjara 5 tahun selepas disabit kesalahan meliwat, mengumumkan pada 17 Jun beliau tidak bertanding untuk jawatan tertinggi itu.

    Pada 18 Julai, Dr Mahathir akhirnya berkata beliau sanggup menyokong Anwar sepenuhnya untuk jawatan perdana menteri “jika itu yang rakyat mahukan.”

    Beliau berkata PH sedang menunggu waktu sesuai sebelum mengumumkan pilihan perdana menteri, mengatakan ianya satu strategi yang menggunakan “elemen kejutan” pada pilihan raya seterusnya.

    Semasa bercakap dengan CNBC, Dr Mahathir yang berumur 92 tahun itu berkata, mengumumkan senarai calon tidak sesuai masa ini, dan pembangkang patut kekal fokus menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Najib Razak.

    “Ia (menamakan mereka) akan menyebabkan ramai orang berdebat dan mencetuskan pelbagai tuduhan palsu terhadap mereka, dan mereka akan sibuk cuba membela mana-mana calon yang tidak akan menjadi perdana menteri,” beliau dipetik berkata.

    “Saya tidak terfikir untuk memerintah, saya hanya fikirkan bagaimana mengalahkan Datuk Seri Najib pada pilihan raya seterusnya dan nampaknya ramai orang memberi respons kepada apa yang saya lakukan.

    “Kami yakin kami akan menang, tetapi kami harus berdepan lelaki yang sanggup melakukan apa saja demi kuasa,” tambahnya, merujuk kepada Najib.

    -na-

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up