• Carian
  • Media Sosial
  • Najib Puji PAS Amal Politik Matang, Hadi Mahu Umat Islam Tidak Berbalah Secara Melampau

    Posted by fatty | 13 August 2017 | 37

     

    PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji PAS yang kini mengamalkan politik matang dan konstruktif tidak lagi membuat serangan semberono terhadap sesuatu isu.

    Beliau berkata PAS mengamalkan prinsip ‘tabbayun’ iaitu parti itu membuat siasatan terlebih dahulu dan barulah ia membuat kesimpulan atau keputusan terhadap sesuatu isu.

    “Dalam hal isu 1MDB (1Malaysia Development Bhd) dia (PAS) panggil (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) Arul Kanda (Kandasamy) dan selepas penjelasan oleh Arul Kanda, baru dia buat pendirian dia.

    “Pendirian dia ialah memahami bahawa kita perlu beri peluang kepada 1MDB untuk melaksanakan pelan rasionalisasinya dan apabila berjaya nanti bererti masalah 1MDB boleh selesai,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang di sini, Sabtu.

    Pada majlis itu, Najib yang juga Presiden UMNO turut merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Machang.

    Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

    Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini berkata, hasil daripada kematangan dalam berpolitik itu menjadikan PAS parti pembangkang yang konstruktif.

    “Kita bersaing (berlawan) tetapi dalam hal-hal tertentu yang boleh memberi manfaat dan kebajikan, kita boleh bekerjasama,” katanya.

    Ditanya adakah kerjasama itu akan melangkah lebih jauh iaitu kerjasama politik, Najib berkata: “Itu tak tahu lagi, kita tengok keadaan.”

    Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Arul Kanda mengenai hutang yang ditanggung oleh 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang tersebut, hasil sidang meja bulat yang diadakan di Kuala Lumpur.

    Sementara itu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dalam kuliahnya di Marang mengingatkan umat Islam agar tidak menyerang pihak lain dengan melampau kerana kemungkinkan orang yang diserang itu akan menjadi rakan yang dikasih.

    Hadi mahu pendekatan bersopan diambil terhadap pihak yang menjadi ‘musuh’ dan bukannya ‘ terkam habis’ dan berbalah secara melampau di atas perbezaan sesuatu isu atau pendapat kerana orang yang tidak disukai itu mungkin akan menjadi sahabat baik.

    Menurutnya, pendekatan kasih sayang dan berhemah itu merupakan perintah Allah SWT kepada para nabi dalam berdakwah kepada kaum masing-masing. – Kedahnews.com

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



    Scroll Up