• Carian
  • Media Sosial
  • Perlembagaan,Kedaulatan Raja Berpaksi Prinsip Islam

    Posted by suzein-yana | 3 August 2017 | 15

     

     

    Antara sudut penting yang masih kurang diberi penekanan dalam penulisan ilmiah mahupun sejarah, bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu itulah menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Rencana ini bertujuan untuk membincangkan implikasi kedaulatan Raja-Raja Melayu melalui kerangka watan dari sudut prinsip kuasa eksekutif dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

    Seperti dijelaskan dalam Kedaulatan Watan Berpaksi Ajaran Islam (Berita Harian, 12 Mei 2017) dan Perkara 181(1) Perkukuh Kedaulatan Raja (Berita Harian, 13 Julai 2017), kedaulatan watan Raja-raja Melayu dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan bersumberkan ajaran Islam.

    Justeru, pemakaian kerangka Barat dalam pentafsiran peruntukan undang-undang sudah pasti ada kalanya menghasilkan natijah berbeza dengan konsep kedaulatan sebenar yang dijunjung oleh perlembagaan Malaysia. Perkara 39 memperuntukkan, “Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri, atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang, memberi fungsi eksekutif kepada orang lain.”

     

    Konsep kedaulatan dipasak dalam Perlembagaan

    Implikasi konsep kedaulatan dalam prinsip perlembagaan sudah diterima secara universal bahawa kedaulatan itu mencorakkan sistem politik dan prinsip perundangan sesebuah negara. Dari sudut prinsip kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong, baginda adalah terikat dengan konsep kedaulatan yang dipasak dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

    Kerangka undang-undang watan memposisikan Raja-Raja Melayu sebagai khalifah yang terbina atas doktrin pengamanahan kedaulatan (‘sovereign trust’). Kedudukan itu diperjelaskan lagi melalui sumpah yang dilafazkan oleh Yang di-Pertuan Agong apabila baginda berikrar ‘mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memelihara pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.’

    Sesuai dengan kuasa eksekutif Persekutuan yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong, baginda hendaklah melaksanakan kewajipan baginda tertakluk pada konsep kedaulatan, sumpah jawatan dan melalui tatacara-tatacara dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

    Menurut Abdullah @ Alwi Haji Hasan (2005), tujuan utama pihak Eksekutif dalam sesebuah negara Islam adalah untuk menguatkuasa perintah Allah SWT yang disampaikan melalui al-Quran dan al-Sunnah. Badan Eksekutif mengikut perspektif Malaysia terdiri daripada Jemaah menteri, perkhidmatan awam, polis dan angkatan tentera.

    Disebabkan kuasa politik itu lahir daripada kedaulatan Raja-Raja Melayu, maka tidak hairanlah Yang di-Pertuan Agong, yang merupakan wakil Raja-Raja Melayu dikehendaki melafazkan sumpah jawatan seperti Jadual 4 Perlembagaan Persekutuan. Implikasi yang sama juga terpakai ke atas setiap orang dan entiti yang melaksanakan fungsi pemerintahan.

    Dalam kata lain, sumpah jawatan itu mengikat Yang di-Pertuan Agong dan mereka yang melaksanakan kuasa eksekutif baginda untuk dengan sebenar-benarnya memelihara pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.

    Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam ‘The Truth Shall Prevail’ menyatakan prinsip perundangan Islam sewajarnya diserap masuk dalam undang-undang Persekutuan, terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Amalan sebegini sudah bermula di Malaysia apabila perbankan Islam dan takaful ditadbir oleh mahkamah sivil. Beliau menggesa pengharmonian undang-undang sivil dengan prinsip perundangan Islam kerana percaya 80 peratus undang-undang sivil pada hari ini bukan `un-Islamic’.

    Pelaksanaan perundangan Islam bagi Abdul Hamid Mohamad perlu dibuat secara berhemat dan bijaksana untuk memastikan `maqasid syar`iyyah’ tercapai. Matlamat utamanya adalah keadilan dan bukan setakat penguatkuasaan hukuman syariah semata-mata. Gesaan yang sama pernah dibuat oleh Tun Salleh Abas, Tun Abdul Hamid Omar, Tan Sri Hashim Yeop Abdullah Sani, Allahyarham Tan Sri Harun Hashim dan Tun Ahmad Fairuz.

     

    Menjamin kesejahteraan rakyat berbilang agama

    Pada sisi lain, prinsip kuasa eksekutif bersumberkan ajaran Islam itu boleh dikuatkuasakan dalam kerangka yang sama selaras dengan konsep kedaulatan negara seperti termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

    Dari sudut bingkai lebih besar, prinsip kuasa eksekutif itu bukan sahaja mengikat semua pelaksana fungsi eksekutif Persekutuan, bahkan mereka yang bertanggungjawab dalam proses meluluskan undang-undang juga pentadbir keadilan negara. Ini kerana kewajipan pemerintah dan corak pemerintahan itu adalah terbit daripada sumber dan ciri-ciri kedaulatan itu.

    Jelasnya, prinsip kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong adalah premis yang melahirkan tanggungjawab kepada pihak-pihak berkaitan untuk mendaulatkan prinsip Islam. Prinsip Islam hendaklah diaplikasi ke atas semua undang-undang sivil, pentadbiran dan dasar-dasar semasa kerajaan. Pengabaian prinsip itu adalah satu perlanggaran kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu yang dijamin oleh Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

    Akhirnya, semua pihak yang melaksanakan kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong mempunyai kewajipan mematuhi konsep kedaulatan watan negara di semua peringkat pelaksanaan sesuai dengan kedudukan undang-undang Islam sebagai `law of the land’. Syarat pelaksanaan pemerintahan atas prinsip keadilan, pasti menjamin kesejahteraan rakyat berbilang agama dan keturunan – BeritaOnline

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



    Scroll Up