• Carian
  • Media Sosial
  • Eksklusif : Kisah Perjalanan Media Malaysia Bersama Datuk Akmar Hisham Ke Masjid Al Aqsa

    Posted by nadilang | 26 July 2017 | 9:10 pm | 59

     

    SEKATAN yang dilakukan oleh pihak rejim Tel Aviv terhadap masjid ketiga paling suci bagi umat Islam iaitu Masjid Al Aqsa ternyata tidak sesekali melunturkan semangat dan daya juang sekumpulan pasukan Media Malaysia untuk menziarahi kawasan penuh bersejarah itu.

    Walaupun pelbagai cerita duka dan merbahaya dilaporkan pihak media ke seluruh dunia akan situasi di Masjid Al Aqsa itu, namun Misi Kemanusiaan dan Pertukaran Budaya Media Malaysia – Jordan 2017 oleh sekumpulan Media Malaysia tetap digerakkan.

    Pasukan ‘berani mati’ itu diketuai oleh Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles yang memulakan ekspedisi berkenaan pada 23 Julai 2017 dengan dianggotai oleh 27 peserta keseluruhannya.

    Catatan yang disalurkan melalui laman media sosial facebook Akmar Hisham Mokhles amat menarik untuk kita sama-sama kongsikan yang memperlihatkan kepada kita keadaan sebenar apa yang sedang berlaku di Jordan dan Masjid Al Aqsa ketika ini.

     

     

    Memulakan perjalanan ekspedisi menuju Jordan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam 23 Julai 2017 ;

    Datuk Akmar Hisham menyampaikan sesuatu sebelum berlepas

     

    menariknya program ini disertai oleh pengamal media dari pelbagai kaum

     

     

     

    Rombongan misi berkenaan tiba di Amman, Jordan dengan selamat seperti dijadualkan pada pagi 24 Julai 2017 ;

    Datuk Akmar Hisham ‘belanja’ selfie untuk para pengikutnya di Facebook dari Amman, Jordan. Tanda permulaan misi mereka di sana

     

     

     

    Selaku ketua rombongan, Akmar Hisham turut ‘update’ keadaan semasa mereka berada di kawasan sempadan Jordan – Israel yang amat menggetirkan, namun tiada sebarang masalah berlaku ;

    Menunggu dengan sabar di atas bas sementara menunggu pasport di cop

     

    Alhamdulillah, tiada sebarang masalah ketika tiba di lapangan terbang

     

     

     

    Pada hari yang sama selepas beberapa jam menempuh perjalanan, rombongan misi berkenaan selamat tiba ke kota lama Jerusalem. Jelas pada gambar menunjukkan papan tanda arah Masjid Al Aqsa yang tidak berapa jauh dari lokasi gambar ini diambil ;

    “Ramai media membuat liputan mengenai keadaan di sekitar Masjid Al Aqsa. Media antarabangsa pun ramai. Kawalan polis Israel pula agak ketat memandangkan beberapa insiden yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Seorang pemuda Palestin yang kami ajak bersembang sebentar tadi mengatakan bahawa rakyat Palestin ingin mengadakan demonstrasi sekali lagi malam ini untuk menzahirkan rasa tidak puashati mereka kepada pihak berkuasa Israel.” – Akmar Hisham

     

     

     

    Gambar eksklusif diambil dari Akmar Hisham sendiri dimana ia menyaksikan berlaku pertempuran antara rakyat Palestin dan askar Israel di luar perkarangan masjid. Bila insiden ini berlaku, rombongan Media Malaysia terpaksa berlindung di masjid sehingga keadaan reda dan terpaksa bergerak keluar menggunakan pintu lain untuk mengelak terperangkap dalam sebarang pertempuran ;

    Gambar eksklusif yang diambil ini menunjukkan pergelutan antara rakyat Palestin dan askar Israel berlarutan sehingga jam 2 pagi

     

    Rombongan Media Malaysia terpaksa berada dalam masjid dan menggunakan jalan lain untuk keluar

     

     

     

    Video yang dikongsi Akmar Hisham yang menunjukkan situasi di Palestin. Yang pasti, misi ekspedisi ini amat memberi impak kepada para peserta betapa besarnya perjuangan rakyat Palestin ;

     

     

     

     

     

    Tidak serik untuk mengunjunggi Masjid Al Aqsa, selepas semalam terperangkap seketika dalam masjid, pagi tadi rombongan Media Malaysia sekali lagi memasuki masjid suci tersebut ;

    Mesin pengimbas inilah antara punca berlakunya protes selama 11 hari. Akhirnya pihak berkuasa Israel akur dengan kehendak rakyat Palestin agar mesin ini tidak digunakan

     

    Polis Israel masih mengawal ketat sekeliling masjid

     

    Askar Israel mengiringi setiap masa rombongan pelawat Yahudi yang mengunjungi masjid tersebut manakala pengunjung berbangsa lain bebas bergerak tanpa kawalan. Keadaan ini, sedikit sebanyak memudahkan petugas media Malaysia melakukan tugas mereka

     

     

     

    Dalam catatan Akmar Hisham turut menceritakan bagaimana rombongan Media Malaysia terpaksa curi-curi mengambil gambar dan terpaksa menempuh kawalan ketat Polis Israel. Kawalan diketatkan selepas 2 anggota Polis Israel mati ketika bertempur dengan penunjuk perasaan ;

    Media melaporkan setakat ini, 3 penduduk Palestin turut terbunuh ketika bertempur dengan polis Israel

     

     

     

    Ini amat menarik! Kenapa rombongan Islam tidak memakai jubah atau kopiah semasa mahu beribadah di Masjid Al Aqsa? Akmar Hisham menceritakan perkara sebenar ;

    “Ada orang bertanya saya, kenapa kami tidak memakai jubah atau pakaian yang lebih kemas untuk beribadat di Masjid Al Aqsa. Sebenarnya, bukan kami tidak mahu berpakaian kemas dan berkopiah tetapi atas nasihat penduduk Palestin kami terpaksa memakai seperti dalam gambar di bawah. Menurut penduduk Palestin, dalam keadaan tegang dan mudah berlaku pertempuran, adalah lebih baik memakai pakaian yang memudahkan kami melarikan diri bila perlu. Jadi kami ambil nasihat mereka dan terbukti malam tersebut memang berlaku tunjuk perasaan yang berakhir dengan pertempuran. Lagipun, dalam kumpulan kami bukan semua berugama Islam. Ada juga yang beragama Hindu dan Buddha. Jadi apa saja keputusan yang dibuat, mesti mempertimbangkan keselamatan semua ahli kumpulan.” – Akmar Hisham

     

     

     

    Rombongan Media Malaysia juga turut bertemu seorang warga emas berusia 79 tahun yang setiap hari melakukan solat fardhu di Masjid Al Aqsa ;

    Media Malaysia bertanya kepadanya kenapa tidak turut serta dalam protes bersama rakyat Palestin yang lain? Menurutnya, beliau tidak sanggup untuk melihat tiada seorang pun umat Islam yang solat di masjid itu waima walaupun kerana protes terhadap Israel. Katanya, solat berjemaah di masjid itu perlu dihidupkan setiap masa tanpa putus biar apapun alasannya dan beliau sendiri sudah berpuluh tahun bersolat 5 waktu di situ.

     

     

     

    Yang pastinya, perkongsian cerita misi Media Malaysia ke Jordan dan Masjid Al Aqsa tatkala pertempuran sedang berlaku sekarang ini amat menarik dan bermakna buat kita semua.

    Ia bukan sahaja menunjukkan senario sebenar apa yang sedang berlaku di sana tanpa sebarang spekulasi media, malah ia juga sebagai lambang sokongan negara kita terhadap perjuangan Palestin itu sendiri.

    Kita berharap agar Akmar Hisham dapat terus berkongsi perkara-perkara menarik untuk tatapan semua rakyat Malaysia dan mereka semua selamat pulang ke tanah air dengan sempurna. –Tv14

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up