• Carian
  • Media Sosial
  • Felda Saksi Utama Anjakan Paradigma Kemajuan Malaysia

    Posted by editor | 17 July 2017 | 8:56 am | 36

     

     

    BAGI Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, sesebuah jawatan yang disandang itu bukanlah untuk dinikmati atau menjadi medium mengaut kekayaan buat anak-anak, sebaliknya jawatan merupakan sebuah jambatan untuk menggerakkan agenda yang selama ini bermain di fikirannya.

     

    Maka tak hairanlah sejurus selepas menganggotai kabinet, beliau segera menubuhkan satu jawatankuasa yang diberi nama Government Working Party, yang antara matlamat utamanya adalah untuk mengkaji dan merangka langkah-langkah yang perlu digerakkan bagi memajukan Tanah Melayu dan rakyatnya.

     

    Berdasarkan fahaman dan perbincangan dari jawatankuasa itulah, tercetusnya penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) pada tanggal 1 Julai 1956 dengan modal permulaan sebanyak RM10 juta.

     

    Lembaga berkenaan kemudiannya dikenali sebagai Felda iaitu nama yang kekal sehingga ke hari ini. Ia ditubuhkan di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 dengan tujuan membiaya projek penempatan semula rakyat miskin dan ia dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

     

    Hasrat Tun Abdul Razak mahu membantu rakyat miskin melalui Felda ini menyaksikan pelbagai usaha yang besar dan amat mencabar. Sehinggalah pada 16 Ogos 1957, iaitu kira-kira dua minggu sebelum Tanah Melayu merdeka, Felda berjaya mengemukakan permohonan rasmi untuk membangunkan sebuah kawasan hutan belantara tebal yang masih belum disentuh ketika itu.

     

    Kawasan berkenaan adalah terletak di Lurah Bilut di negeri Pahang. Dan pada 30 November 1957, Felda menerima jawapan permohonan berkenaan dari Kerajaan Negeri Pahang yang menyaksikan permohonan pihak Felda untuk meneroka Lurah Bilut itu telah berjaya diluluskan.

     

    Akhirnya, lima bulan kemudian, pada 1 April 1958, bermulalah pembangunan di Lurah Bilut. Ia melibatkan sebidang kawasan seluas 12,930 ekar dan ia menjadi titik bermulanya satu anjakan besar dalam sejarah negara. Bukan hanya menjadi projek yang mengubah nasib rakyat miskin, tetapi Felda juga melakar landskap baharu dalam pembangunan Tanah Melayu.

     

    Kini, menghampiri 60 tahun berlalu peristiwa manis buat negara itu sudah berlaku. Walaupun ia sudah menjadi bahan arkib sejarah yang masih diingati, namun pada hakikat yang lebih besar, kejayaan penubuhan dan perkembangan Felda dari dahulu sehingga sekarang adalah saksi utama bukan sahaja kepada kemerdekaan negara, malah kepada proses kemajuan Malaysia sehingga menuju Wawasan 2020, dan seterusnya bakal melonjak pula sebagai sebuah negara berprestasi tinggi menjelang tahun 2050 nanti.

     

    Walaupun para pemimpin dan rakyat bersilih ganti sejak negara kita merdeka, namun Felda masih tetap sama dan tidak pernah diganti-ganti. Maka, tepatlah bahawa Felda merupakan ‘saksi utama’ buat negara kita dalam proses kemerdekaan, pemodenan dan transformasi sebuah negara bangsa yang lebih gemilang. –Tv14

     

     

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up