• Carian
  • Media Sosial
  • Kit Siang Tanya PAS, Siapa Calon PM Pilihan Mereka?

    Posted by editor | 13 June 2017 | 8

     

     

    Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, meminta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menamakan tokoh pilihannya untuk menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

    Malah, kata Lim, soalannya itu boleh dijawab dengan mudah oleh Abdul Hadi “tanpa perlu memerah otak begitu banyak”.

    Kenyataan Lim itu dibuat sebagai reaksi beliau kepada kisah Abdul Hadi ketika bertemu dengan duta AS di Malaysia sebelum PRU ke-13 lalu.

    Cerita itu dinukilkan Abdul Hadi pada salah satu catatannya baru-baru ini. Ia dibuat ketika anggota parlimen Marang itu menjelaskan pendirian PAS mengenai calon perdana menteri pilihan mereka.

    Ketika pertemuan Abdul Hadi dan duta itu, PAS ditanya siapakah yang dicalonkan PAS sebagai perdana menteri Malaysia kalau memenangi PRU?

    “Saya menjawab secara sepontan: Siapakah calon yang dipersetujui oleh AS? Mereka semua ketawa besar, kemudian terdiam,” ceritanya.

    Kata Lim, pengisahan pertemuan Abdul Hadi itu sangat menarik, sama ada dari segi kandungan juga waktu ia didedahkan.

    “Ia mengesahkan bahawa, walaupun Pakatan Rakyat bersetuju menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ketika itu dan ia diumum secara terbuka semasa ceramah pilihan raya, Abdul Hadi dan penasihat-penasihatnya mempunyai pandangan lain,” katanya.

    Pakatan Rakyat adalah gabungan parti pembangkang utama – PKR, DAP dan PAS – yang dibentuk bagi menghadapi BN menjelang PRU ke-13.

    Bagaimanapun gagasan itu berkubur apabila PAS dan DAP berseteru dan kemudian melahirkan Pakatan Harapan (HAAPAN) dengan dianggotai Parti Amanah Negara (AMANAH).

    Ia kemudian disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

    Tahun ini PAS akhirnya turut berseteru – paling tidak di atas kertas – dengan PKR apabila memutuskan kerjasama politik mereka dengan parti berkenaan.

    Sementara itu Lim menyatakan, walaupun Anwar masih calon utama mengetuai kerajaan HARAPAN jika mereka mengatasi BN pada PRU ke-14, bekas ketua pembangkang itu hanya boleh menjadi perdana menteri kelapan Malaysia, bukannya yang ketujuh.
    “Disebabkan Anwar berada dalam penjara dan hilang hak memegang jawatan awam selama lima tahun dari tempoh pembebasannya, beliau hanya boleh menjadi perdana menteri kelapan dan tidak ketujuh,” katanya dalam kenyataan.

    Justeru Lim berkata HARAPAN akan memutuskan siapakah tokoh yang boleh disepakati untuk menjadi calon perdana menteri apabila pakatan itu memenangi PRU ke-14.

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up