• Carian
  • Media Sosial
  • Pelam Harumanis Hanya Untuk Negeri Perlis…

    Posted by nadilang | 19 May 2017 | 45

     

     

    Kerajaan negeri Perlis tidak bersetuju dengan cadangan supaya pokok mempelam Harumanis ditanam secara besar-besaran di negeri-negeri lain, kata anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ahmad Bakri Ali.

    Beliau berkata cadangan itu ditolak kerana Harumanis merupakan hak eksklusif Perlis dan kebanyakan rakyat negeri ini menjana pendapatan dengan menanam pokok mempelam itu.

    “Saya membantah kerana Harumanis merupakan satu-satunya hak eksklusif Perlis.

    “Jika nak ditanam sepokok dua tidak mengapa tetapi menanamnya secara ladang untuk dikomersilkan, kita memang tidak bersetuju,” katanya selepas pelancaran Fiesta Mangga @ Medan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) Ulu Pauh dan Pelepasan Konvoi Kembara Harumanis Perlis ke Putrajaya dan Klang di Medan Gerai GBBS Ulu Pauh, Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun di sini, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Tan Sri Badruddin Amiruldin.

    Medan GBBS Ulu Pauh, yang dibina dengan kos RM120,000, menempatkan 14 gerai usahawan buah-buahan tempatan.

    Ahmad Bakri berkata demikian sebagai mengulas cadangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Februari lepas supaya penanaman Harumanis diperluaskan ke negeri lain.

    Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri melaksanakan banyak inisiatif supaya mempelam Harumanis menjadi satu daripada sumber ekonomi utama dalam kalangan rakyat Perlis.

    “Permintaan yang tinggi dari seluruh negara membolehkan orang ramai mengunjungi Perlis semata-mata untuk menikmati kelazatan buah eksklusif kita…sudah tentu, sumber ekonomi kita juga turut meningkat sepanjang musim harumanis,” katanya.

    Menurutnya walaupun ramai yang cuba menanam pokok Harumanis di luar Perlis, hasil buahnya tidak sebaik pokok yang ditanam di negeri ini.

    Bagi mendapatkan hasil buah yang terbaik, pokok Harumanis memerlukan musim kemarau yang panjang sekurang-kurangnya dua bulan setengah selain daripada agen pendebungaan semulajadi iaitu sejenis kumbang dan lalat.

    “Kumbang dan lalat ini hanya ada di Perlis memandangkan kitaran hidup serangga berkenaan berkait rapat dengan perubahan cuaca unik di Perlis yang tidak ada di negeri-negeri lain,” katanya. Terdahulu, Ahmad Bakri dan Badruddin melepaskan konvoi 22 kenderaan ke 35 lokasi di seluruh negara bagi mempromosi dan menjual mempelam Harumanis di samping menyebarluaskan ciri-ciri buah berkenaan kepada orang ramai.

    Antara lokasi berkenaan termasuklah Giant Sungai Wang, Giant Pandan, Giant Wangsa Maju di Kuala Lumpur, Aeon Shah Alam, SACC Mall dan Giant USJ di Selangor; Giant Senawang di Negeri Sembilan dan Plaza Angsana serta Giant Plentong di Johor. – BERNAMA

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up