Video Rakyat Kisah Masyarakat

  • Carian
  • Media Sosial
  • Fara Fauzana Lega Tidak Lagi Terkejar-Kejar

    Posted by kal-el | 19 May 2017 | 5

     

     

    Selepas hampir dua tahun meninggalkan dunia penyiaran radio, selebriti serba boleh Fara Fauzana mengakui gembira dengan pekerjaan yang dilakukan sekarang.

     

    Menurut Fara yang juga bekas pengacara program Muzik Muzik 31, sepanjang bergerak secara sambilan dia bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berbanding dahulu.

     

    Paling penting Fara tidak perlu risau dan terkejar-kejar untuk menghadiri sebarang acara seperti sebelum ini.

     

    “Diakui ketika masih berkhidmat di radio banyak perkara yang terbatas untuk saya lakukan. Bukan apa, saya terikat dengan jadual kerja dan tuntutan syarikat. Jadi banyak perkara perlu diambil kira. Disebabkan itu memang susah nak melihat saya muncul dalam sebarang acara. “Selepas berhenti senario itu berubah 360 darjah. Memandangkan tidak terikat dengan mana-mana stesen TV, saya bebas ke mana saja asal saja jadual dan masa sesuai. Pada masa sama saya boleh mengacarakan apa sahaja majlis atau jenama.

     

    “Tak dinafikan semua yang dilalui itu memberikan keseronokan berganda kepada saya. Malah, dalam kalangan rakan juga mereka boleh menarik nafas lega kerana saya boleh bekerjasama atau menghadiri acara mereka,” katanya.

     

    Meskipun berhenti sebagai penyampai radio, tidak bermakna Fara meninggalkan terus cabang seni yang diceburi sejak 10 tahun lalu terutama pengacaraan.

     

    Terbaru Fara dipilih mengacarakan program bual bicara pagi Assalamualaikum yang disiarkan di TV Alhijrah.

     

    “Saya memang tak nak terikat dengan mana-mana syarikat lagi. Saya terima tawaran mengacara program Assalamualaikum kerana kontrak saya hanya untuk tiga bulan dan bukan dalam tempoh panjang.

     

    “Pada masa sama konsep program ini juga berbeza. Menariknya, pihak penerbitan memberi kebebasan kepada saya untuk mengacarakan program ini. Mereka nak saya menjadi diri sendiri. Cuma saya perlu belajar banyak perkara terutama hal agama,” katanya yang turut ditawarkan mengacara program bual bicara lain.

     

    Ditanya sekiranya dia mendapat tawaran menjadi penyampai radio semula, Fara menegaskan dia akan mempertimbangkan perkara itu.

     

    Namun Fara enggan jika tawaran yang datang itu menuntut dia melakukan rutin sama seperti 10 tahun lalu.

     

    “Dalam perkara ini saya masih boleh pertimbangkan. Tetapi saya terfikir adakah masih mampu melakukan perkara sama seperti sebelum ini? Jika betul saya kembali ke dunia penyiaran radio, saya mahu melakukan sesuatu yang baru.

     

    “Selain itu saya juga perlu tahu siapa rakan penyampai. Bukan apa, saya beranggapan kejayaan yang dikecapi sepanjang menjadi penyampai radio turut dibantu pasangan penyampai. Tanpa mereka saya tak boleh menjadi seperti apa yang didengar di corong radio,” katanya.

     

    Urus kerjaya sendiri

     

    Apa yang pasti perbezaan ketara sejak Fara bergerak secara sambilan ini adalah pendapatan yang diterima.

     

    Jika selama ini dia tidak perlu risau kerana mendapat gaji bulanan, sekarang tidak lagi. Pendapatan bergantung kepada tawaran kerja diterima.

     

    “Saya memang sudah merancang berhenti kerja apabila genap 10 tahun. Malah, dua tahun sebelum itu saya sudah menyediakan perancangan lain sebagai persediaan masa depan. Jadi apabila berhenti, saya tak berasa teruk.

     

    “Macam orang lain juga, pendapatan adalah perkara utama yang difikirkan apabila bergerak secara sambilan. Sejak itu saya kena uruskan sendiri kerjaya. Malah, saya perlu ambil tahu semua perkara. Dahulu saya masih boleh bersikap sambil lewa mengenai soal bayaran kerana yakin akan dibayar tepat pada waktu, tetapi kini tidak lagi,” katanya.

     

    Fara berkata, dia pernah merujuk dan bertanya kepada rakan artis lain yang bergerak secara sambilan mengenai pengurusan kerjaya sendiri.

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up