• Carian
  • Media Sosial
  • Jangan Keliru Konsep Ahli Sunnah Wal Jamaah – Jakim

    Posted by suzein-yana | 21 April 2017 | 38

     

    Terdapat segelintir umat Islam di negara ini masih keliru dengan konsep Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), malah ada menganggapnya sebagai kumpulan atau fahaman yang baharu bertapak. Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim menafikan tanggapan itu dan menjelaskan bahawa ASWJ merupakan fahaman para sahabat dan majoriti ulama terkemudian yang dipelopori Imam Abu Hasan al-Asy’ari. Kepada Mega Mimbar Utusan Malaysia, beliau turut menjelaskan mengenai pendekatan Jakim dalam memperkasa pegangan ASWJ di negara ini, selain daripada peranan NGO dan masyarakat.

     
    MEGA MIMBAR: Apakah yang dimaksudkan dengan konsep ASWJ dan sejauh mana ia difahami masyarakat?

    MOHAMAD NORDIN: Secara umum, konsep ASWJ ialah mereka yang sentiasa istiqamah beramal berpandukan ajaran al-Quran dan hadis dalam aspek akidah, syariah dan akhlak sebagaimana panduan ditunjukkan Rasulullah SAW dan para sahabat.

    Masyarakat Islam di Malaysia didedahkan sejak kecil dengan asas-asas ajaran Islam berasaskan tiga aspek itu.

    Fahaman akidah ASWJ berteraskan aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah serta mengikut mazhab fikah Syafie tanpa menafikan tiga mazhab muktabar lain.

    Dari segi sejarah, bagaimana ASWJ menjadi pegangan masyarakat negara ini?

    Ia bukan kumpulan atau fahaman baharu yang diasaskan oleh ulama terkemudian.

    Sebaliknya, merupakan fahaman para sahabat dan majoriti ulama terkemudian yang dipelopori Imam Abu Hasan al-Asy’ari. Aliran ini seterusnya berkembang subur dan menjadi aliran arus perdana negara sehingga kini dan dipelihara dengan baik.

    Bagi mengekalkan tradisinya, ramai ulama ASWJ mewasiatkan ratusan kitab agama dalam bidang akidah, syariah, tasawuf dan ilmu-ilmu lain yang terus menjadi rujukan masyarakat dan pusat-pusat pengajian. Ia sekali gus mengukuhkan pegangan akidah, amalan syariah dan sistem nilai masyarakat Islam di Malaysia.

    Natijahnya, kestabilan susunan siasah, masyarakat dan perpaduan ummah terus utuh.

    Apakah asas-asas utama yang menjadikan ASWJ sebagai dasar kemajuan Islam di negara ini?

    Pada pandangan saya, akidah yang kuat bakal melahirkan sebuah ketamadunan dan pembangunan gemilang. Namun, jika masyarakat Islam masih ada yang hidup dalam keadaan syirik dan kufur serta bertentangan dengan akidah ASWJ, maka kita akan kerugian.

    Oleh itu, pegangan masyarakat Islam perlu sentiasa diperkukuh dalam aspek pengajian, pendidikan, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang dan seumpamanya yang berteraskan fahaman ASWJ.

    Dasar akidah inilah yang kemudiannya terus berkembang dan berakar dalam kalangan orang awam. Mereka akan merasa ganjil dan resah apabila terdapat aliran lain yang berbeza daripada apa yang mereka anuti, cuba menyelinap masuk atau melebarkan pengaruh.

    Sejauh mana kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap amalan akidah dan Islam di negara ini?

    Tidak mudah untuk menentukan tahap amalan akidah seseorang kerana ia melibatkan urusan peribadi antara individu dan Allah SWT. Namun, perkara ini dapat diukur melalui sejauh mana tindakan seseorang itu selari dengan ketetapan syariah.

    Jika seseorang itu istiqamah menjalankan perintah Allah, maka bolehlah dianggap akidahnya lebih baik berbanding mereka yang sebaliknya.

    Trend masyarakat kini sudah mula beralih kepada amal Islami, petunjuk bahawa pemahaman akidah masyarakat Islam semakin baik.

    Amalan-amalan seperti mandi Safar, tolak bala, buang ancak, puja kubur dan sebagainya telah beransur-ansur terhakis daripada amalan umat Islam. Ini adalah kesan daripada usaha dakwah semua pihak sama ada oleh kerajaan, NGO dan individu-individu perseorangan.

    Apakah pendekatan Jakim dalam memperkasa pegangan ASWJ di negara ini?

    Jakim sentiasa komited memelihara dan memperkasa aliran ASWJ bahkan menjadikan agenda tersebut sebagai teras dalam pelan strategik Jakim.

    Gerakan dakwah dengan perancangan tersusun sentiasa diberi penekanan. Ini bersesuaian dengan ciri-ciri akhlak yang menghiasi golongan ASWJ iaitu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.

    Selain itu, modul-modul dakwah, pendidikan Islam, pengukuhan kekeluargaan, kelas takmir dan program agama pelbagai peringkat masyarakat turut digubal berdasarkan ajaran ASWJ.

    Sejauh mana peranan NGO dan sokongan masyarakat dalam membantu memperkasa ASWJ?                                                                                                                                                                                                                  NGO Islam pada masa ini sentiasa bersama Jakim sama ada dalam bentuk kerjasama mengadakan program atau sokongan moral terhadap isu-isu semasa agama yang ditangani Jakim. Juga turut menyumbang buah fikiran dan kritikan ke arah penambahbaikan mutu pentadbiran hal ehwal Islam.

    Kita juga amat menghargai peranan ulama yang tidak jemu-jemu menyampaikan ilmu dan membimbing kefahaman masyarakat.

    Sebahagiannya bergerak atas nama NGO Islam dalam pelbagai nama, berdaftar dan dikawal selia oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

    Diharapkan mereka dapat terus memainkan peranan penting dalam usaha memelihara dan memperteguh akidah umat Islam di Malaysia.

    Apakah harapan bagi memperkuat pegangan dan amalan masyarakat terhadap ASWJ?

    Semoga penyebaran ilmu agama terus diperkasa pada semua peringkat masyarakat. Pelbagai institusi keilmuan Islam di negara ini perlu saling memperkukuh antara satu sama lain.

    Institusi masjid dan surau perlu memainkan peranan lebih meluas, khususnya melalui pelbagai kelas pengajian seperti kelas-kelas takmir masjid seliaan Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri, sebagai antara medium perkembangan ilmu pada peringkat akar umbi – UtusanOnline

     

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



    Scroll Up