Video Rakyat Kisah Masyarakat

  • Media Sosial
  • Muhyiddin Dibidas Gara-Gara Pelaburan China Dianggap Tidak Logik

    Oleh fatty | 11 January 2017 | 5:30 pm

     

    Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pelaburan dari China akan menjejaskan periuk nasi penduduk tempatan telah mendapat tindak balas ahli-ahli politik, komuniti perniagaan dan pengguna internet.

    Mereka berkata pelaburan langsung asing (FDI) dari tanah besar China akan memberi kelebihan kepada Malaysia, terutama pada masa kritikal ini di mana pertumbuhan global adalah lembab.

    Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menyelar dakwaan Muhyiddin sebagai ‘tidak logik’.

    “Beliau seolah-olah telah berubah fikiran selepas beralih kepada parti politik lain.

    “Ketika menjadi timbalan perdana menteri, beliau mengetuai misi ke China untuk menarik pelabur China ke Malaysia.

    “Ini jelas bermotifkan politik bagi melemahkan hubungan antara kedua-dua negara,” kata Tiong Lai kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di Wisma MCA, Selasa.

    Tiong Lai memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan pelabur asing memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di negara ini.

    Memetik pembinaan landasan kereta api elektrik Gemas-Johor Bahru sebagai contoh, beliau berkata kontraktor yang dilantik, China Railway, perlu menubuhkan usaha sama dengan sebuah syarikat Malaysia untuk memastikan pemindahan teknologi.

    Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia Tan Sri Pheng Yin Huah berkata pelaburan China akan membantu merangsang ekonomi tempatan dan ia perlu disokong.

    “Bagi menangani kebimbangan bahawa pelaburan tanah besar tidak akan menjejaskan pai ekonomi rakyat Malaysia, Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa perlu mencapai persetujuan dengan pelabur asing untuk menggunakan sebanyak mungkin sumber tempatan bagi situasi menang-menang,” katanya.

    Dalam temu bual dengan Sin Chew Daily, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa masuk pelaburan dari China telah menimbulkan punca rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan, termasuk Melayu dan Cina.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Muhyiddin menunjukkan hipokrasi apabila beliau bersungguh-sungguh mahu menarik pelaburan dari Britain ketika berada dalam kerajaan.

    “Saya minta Muhyiddin tidak jadi hipokrit apabila mengatakan bahawa pelabur China tidak dialu-alukan tetapi ‘orang putih’ boleh. Kita akan dituduh sebagai perkauman,” katanya dalam laman sosial.

    Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga membalas kenyataan Muhyiddin itu, mengatakan bahawa Iskandar Malaysia terbukti merupakan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    “Mengapa tidak suarakan pandangan beliau semasa menjadi timbalan perdana menteri,” kata Khaled.

    Seorang diplomat bersara berkata Malaysia masih belum mencapai tahap di mana ia boleh maju tanpa FDI.

    Tiada apa yang pelik apabila China melabur di Malaysia kerana ia juga telah melabur di negara-negara lain, termasuk Afrika, Singapura, Australia dan Amerika Syarikat, kata bekas diplomat itu.

    Netizens membidas Muhyiddin di laman Facebook The Star Online.

    Sun Ce berkata pelaburan China amat penting kerana Malaysia masih kekurangan modal dan kepakaran untuk projek-projek infrastruktur yang besar.

    “Sejak bila pula pelaburan langsung asing tidak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia – mereka mengupah tenaga kerja tempatan dan merangsang ekonomi.”

    Zafri Khalis berkata ketika negara lain berdepan dengan masalah mereka sendiri, menjadi satu pembaziran jika Malaysia melepaskan peluang yang membawa masuk aliran pelaburan China.

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up