Video Rakyat Kisah Masyarakat

  • Media Sosial
  • Malaysia Kalahkan Wales 2-0 Dalam Aksi Persahabatan

    Oleh kal-el | 11 January 2017 | 1:20 pm

     

    KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita kebangsaan mempamerkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan 2-0 ke atas Wales pada aksi persahabatan di Stadium Hoki Tun Razak di sini, Selasa.

    Malaysia yang mempamerkan corak permainan menyerang sejak awal permainan berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid.

    Wales yang tersentak dengan gol awal itu, bangkit memperkemaskan jentera serangan dalam usaha memburu gol.

    Namun kekebalan benteng pertahanan negara diketuai penjaga gol terbaik Asia, Farah Ayuni Yahya berjaya mematahkan semua percubaan itu untuk kekal mendahului 1-0 sehingga waktu rehat.

    Babak kedua menyaksikan permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan, namun pasukan negara berjaya menambah jaringan di saat akhir permainan menerusi gol padang Wan Nurfaiezah Md Saiuti.

    Walaupun pemain negara menampilkan aksi memberangsangkan, ketua jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah mengakui masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama di bahagian serangan.

    “Kita bermain dengan agak baik apabila berjaya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal menyempurnakannya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

    Perlawanan persahabatan itu merupakan sebahagian daripada persiapan skuad negara menjelang saingan Liga Hoki Wanita Dunia Pusingan Kedua yang bermula Sabtu ini.

    Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan cabaran mereka menentang Hong Kong pada 14 Januari, diikuti Ireland (16 Januari) sebelum bertemu Kazakhstan dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 17 Januari.

    Kumpulan A pula terdiri daripada Itali yang menghuni ranking ke-15 dunia bersama Wales, Singapura dan Thailand. – BERNAMA

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Pos Berkaitan



    Scroll Up