Video Rakyat Kisah Masyarakat

  • Media Sosial
  • Keikhlasan Kunci Kebahagiaan Rumahtangga

    Oleh suzein-yana | 11 January 2017 | 5:19 pm

     

    Ramai yang menyebut mengenai jodoh, adakah pasangan mesti sekufu? Sebenarnya soalan kenapa sekufu penting dalam perkahwinan, jawapan sudah ada pada diri sendiri kerana pastinya kita mahukan pasangan yang terbaik dalam membina sebuah hubungan.

    Kesesuaian bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan tetapi kesamaan atau sefahaman dalam agama turut diambil kira.

    Hakikatnya, sekufu ini memainkan peranan besar dalam hubungan suami isteri kerana ada pasangan memilki persamaan antara satu sama lain dari segi cara berfikir dan hobi. Bagaimanapun, ada juga pasangan memiliki perbezaan ketara.

    Contohnya, isteri rajin menghias dan mengemas rumah, manakala suami pula tidak menunjukkan minat sedemikian. Dalam hal ini, ia menuntut pasangan berkenaan untuk sentiasa berlapang dada dengan kekurangan dan kelebihan.

    Selain itu, pasangan yang mendapati diri mereka tidak memiliki persamaan juga diingatkan supaya mempunyai sifat belas ihsan dan baik hati terhadap pasangan. Sesungguhnya, sifat ihsan memandu kehidupan manusia.

    Betapa indahnya apabila kita berjaya menerapkan sifat ihsan dalam jiwa. Yakinlah, apabila kita berupaya menyemai hakikat ihsan itu pastinya jiwa lebih tenteram kerana kita meyakini segala peristiwa suka dan duka yang berlaku adalah suatu percaturan serta ketentuan Allah SWT.

    Ia pasti memiliki hikmah tersendiri. Lantaran itu, marilah kita bersama berusaha menyuburkan sifat ihsan dalam kehidupan. Tujuan perkahwinan ialah mendapat ketenangan, kesukaan, keamanan, kasih sayang dan belas kasihan.

     

    Memahami satu sama lain

    Ketika membincangkan tajuk ‘Sama Dan Tak Sama,’ Muhammad turut menegaskan apabila pasangan suami isteri masuk ke fasa perkahwinan, penting bagi mereka memahami satu sama lain secara lebih dekat.

    Melalui perkahwinan, seseorang itu akan menikmati sakinah, mawadah dan rahmah iaitu ketenangan, cinta mencintai serta belas kasihan yang menjadi intipati kepada perkahwinan bahagia. Namun, ia tidak datang sendiri. Sebaliknya, perlu dipelajari dan dipupuk bagi mencapai kebahagiaan hakiki.

    Ramai pasangan suami isteri, meskipun yang sudah lama mendirikan rumah tangga masih tidak mengenali pasangan dengan mendalam termasuk tidak faham kehendak fizikal dan emosi pasangan malah, mereka hanya mengenali sekadar luaran semata-mata.

    Oleh itu, mengenali pasangan dengan mendalam adalah satu kemestian jika ingin sentiasa berada dekat di hatinya.

    Tidak dinafikan saat kita mengecapi kebahagiaan bersama pasangan terdapat juga individu lain yang berusaha memporak-perandakan rumah tangga dengan melakukan amalan sihir. Amalan itu mampu merubah kasih sayang kepada kemarahan dan kebencian.

    Bagi mengelakkan situasi sedemikian berlaku, kita diingatkan mengambil langkah berwaspada iatu sebaik-baiknya tidak menceritakan secara berlebihan segala nikmat yakni harta benda atau pangkat dikurniakan oleh Allah SWT.

    Ini disebabkan ia boleh memberi kesan kepada sesetengah individu khususnya yang memiliki perasaan hasad dengki dan iri hati apabila mengetahui kelebihan itu.

    Selain berikhtiar untuk berubat pasangan kita akibat amalan sihir, disarankan juga supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan seperti membaca al-Quran , mengerjakan solat sunat, berdoa dan berwirid serta menghadiri sesi kuliah agama di masjid ataupun surau.

    Perkahwinan adalah ikatan perjanjian dua insan untuk berkongsi segala-galanya dalam menempuh kehidupan berumah tangga, yang mengharapkannya kekal sepanjang hayat. Lantaran itu, sebaiknya kedua-duanya perlu setaraf dalam banyak hal supaya bahtera rumahtangga lebih mudah dilayari.

    Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

     

     

     

     

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Pos Berkaitan



    Scroll Up