Video Rakyat Kisah Masyarakat

  • Media Sosial
  • Ilmu Angkat Darjat Orang Beriman

    Oleh suzein-yana | 11 January 2017 | 12:39 pm

     

    Melakukan perubahan menuju syurga perbincangan menarik dikupas oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm. Justeru, kehidupan singkat perlu dipenuhi dengan belajar ilmu al-Quran dan hadis agar menjadi penghuni syurga.

    RASULULLAH SAW menyebut, sebaik-baik manusia ialah mereka yang dipanjangkan umurnya dan semakin cantik amalannya. Seburuk-buruk manusia ialah orang yang Allah SWT panjangkan usianya, tetapi masih melakukan maksiat.

    Apabila berhijrah ke alam kubur, kita akan meninggalkan segala yang dimiliki ketika hidup di dunia. Fokuskan segala yang dilakukan dalam kehidupan seharian kepada jalan menuju akhirat kerana alangkah ruginya jika kita dimasukkan dalam neraka Allah SWT.

    Biarlah kehidupan ini bermanfaat, walaupun tempohnya singkat, apabila menemui kematian, kubur berubah menjadi taman syurga untuk dihuni ketika berada di alam barzakh.

    Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat ketika mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya malaikat dengan berkata: Apakah yang kamu telah lakukan dengan agamamu? Mereka menjawab: Tidakkah bumi itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah an-Nisa, ayat 97)

    Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati di IKIMfm berkata, manusia yang hidup di dunia ada yang sedikitpun tidak berasa takut melakukan maksiat dan perkara yang dilarang Allah SWT secara terang-terangan.

     

    Berubah kejar syurga

    Golongan yang lupa segala peringatan Allah SWT itu akan dibukakan kepada mereka segala pintu maksiat sehingga kemuncaknya mereka berasa seronok melakukan maksiat. Tetapi apabila tiba-tiba Allah SWT rentap nyawanya, mereka berada dalam keadaan tercengang ketika menghadap Allah SWT.

    Justeru, lakukanlah perubahan menuju syurga Allah SWT dengan menjaga agama ketika hidup di dunia, bersungguh menghadapi ujian Allah SWT dan berdoa sentiasa berada di jalan-Nya. Ketika hampir dengan kematian, malaikat turun dan berkata: “Janganlah kamu takut dan berdukacita. Khabar gembira daripada Allah, yang akan disediakan syurga untuk dirimu seperti yang dijanjikan oleh Allah kepada dirimu.”

    Mukmin tidak berasa takut dengan kematian, tetapi bimbang terhadap dosanya. Berlaku pada zaman Rasulullah SAW, apabila Baginda menziarahi seorang pemuda yang hampir dengan kematian dan Baginda bertanya, “Wahai pemuda, apakah perasaan kamu pada saat ini? Pemuda itu menjawab: Ya Rasulullah, di dalam dadaku terkumpul dua perkara iaitu perasaan takut terhadap dosa dan perasaan berbaik sangka kepada Allah, kerana walaupun aku masih muda, tetapi terpaksa menghadap Allah pada waktu ini. Rasulullah berkata: Wahai pemuda tidak ada seorang pun yang Allah jadikan pada dirinya dua ketakutan pada suatu masa. Mana-mana orang yang takut akan dosa yang dilakukannya ketika hidup di dunia, Allah akan amankannya di Padang Mahsyar dan di alam barzakh nanti. Bagi orang yang tidak takut akan dosanya ketika di dunia, maka Allah akan jadikan ketakutan yang amat sangat bagi dirinya ketika menghadap Allah kelak.”

    Perkara pertama perlu dilakukan untuk menjadikan diri kita layak menjadi penghuni syurga Allah SWT ialah berhijrah dengan menambah ilmu dan sentiasa belajar menjadi manusia lebih terdidik serta lebih baik.

    Allah SWT mengangkat darjat orang beriman dalam kalangan orang berilmu kerana ilmu membentuk peribadi dan membantu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

     

    Belajar al-Quran, hadis

    Oleh itu, belajarlah ilmu al-Quran, fahami dan hafazlah, malah tanda manusia bersedia berhijrah ialah apabila terasa manisnya membaca al-Quran sehingga mampu mengkhatamnya sekerap mungkin.

    Belajarlah hadis untuk mengenali dan merapatkan diri dengan Rasulullah SAW, mulut akan sentiasa berselawat. Selain itu tanamkan keinginan melakukan perubahan dan menjadi ahli syurga Allah SWT.

    Setiap individu perlu saling menyokong untuk berhijrah menuju syurga Allah, sama ada pemimpin membimbing rakyat ke jalan Allah atau rakyat membantu pemimpin, suami membimbing isteri dan anak, manakala anak membantu ibu dan ayahnya agar tidak melakukan perkara terlarang sehingga menghalang memasuki syurga Allah.

     

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Pos Berkaitan



    Scroll Up