Video Rakyat Kisah Masyarakat

  • Carian
  • Media Sosial
  • Hubungan Dengan China Bukan Ancaman, Kata Penganalisis

    Oleh editor | 11 January 2017 | 12:00 pm

    ‚Äč

    Keupayaan Malaysia mendapatkan sebanyak mungkin pelaburan langsung asing (FDI) dari negara China ketika iklim ekonomi yang tidak menentu, sepatutnya dilihat sebagai manifestasi hubungan dagang yang progresif antara kedua-dua negara, jauh sekali sebagai satu ancaman.

    Bagi pemerhati politik, hubungan yang dijalin kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Republik Rakyat China, adalah rentetan ‘Dasar Pandang Ke Timur’ yang dipraktikkan pimpinan negara sejak sekian lama.

    Penganalisis Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Shukri Shuaib berkata sama seperti hubungan dagang yang aktif dengan Jepun suatu ketika dahulu ketika negara itu merupakan satu daripada negara ekonomi terbesar dunia, Malaysia mengambil peluang untuk meningkatkan hubungan dagang dengan China yang kini mengalami ledakan ekonomi yang pesat.

    “Hubungan dagang kita dengan negara China sudah berakar umbi lama, cuma pada waktu Dasar Pandang ke Timur, Jepun lebih maju daripada China, jadi kita lebih banyak lihat kepada Jepun,” kata Shukri.

    Pada masa ini, katanya, China mengalami persekitaran ekonomi memberangsangkan yang menyaksikan mereka giat melabur dengan negara luar.

    “Apabila ada negara nak berdagang dengan kita dan pelaburan mereka itu tidak melibatkan pengawalan secara total perkara sensitif, tidak ada masalah. Sekiranya kita tidak beri peluang kepada negara untuk menjadi destinasi pelaburan termasuk dari China, ia seolah-olah kita menyekat pelabur luar, ia beri imej tidak baik kepada negara.

    “Saya berpendapat tidak munasabah sekiranya FDI dengan China dianggap sebagai musuh sedangkan kita sudah ada hubungan yang lama dengan negara itu, sejak dari zaman Tun Abdul Razak lagi, malah Malaysia adalah negara paling awal di rantau Asia Tenggara yang mengadakan hubungan diplomatik dengan negara komunis itu yang kini berkembang menjadi satu daripada kuasa besar dunia,” katanya kepada Bernama, semalam.

    Beliau mengulas kenyataan pemimpin pembangkang, yang dilihat cuba mempolitikkan usaha kerajaan membawa masuk pelaburan dari negara China.

    Terbaharu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata pelaburan dari China akan menjejaskan peluang perniagaan di kalangan anak tempatan dan kemungkinan menimbulkan ancaman dari segi campur tangan politik negara luar.

    Mengulas lanjut, beliau berkata pembangkang yang progresif tidak akan mengaitkan semua perkara dengan politik.

    “Inilah masalah yang ada pada pembangkang. Bila kerajaan cari inisiatif untuk mengumumkan projek yang bermanfaat dalam jangka masa panjang seperti projek landasan keretapi Pantai Timur, kenapa perlu ditentang sedangkan ia beri pulangan terbaik dalam keadaan ekonomi hari ini.

    “Harus diingat, negara tanpa suntikan dana dari negara luar akan terperangkap. Kita tak nak jadi seperti Cuba yang tertutup…kita tidak mahu terperangkap dengan elemen ekonomi yang tidak mampu bergerak. Usaha Malaysia untuk dapatkan sebanyak mungkin pelabur asing termasuk dari China tidak perlu dianggap sebagai ancaman,” katanya.

    Katanya pembangkang sepatutnya perlu lebih peka dengan situasi dan adalah lebih baik mereka bersama-sama menarik pelaburan untuk negara menerusi hubungan baik mereka dengan pemimpin luar.

    “Lebih baik mereka berlumba-lumba tunjuk pengaruh mereka kepada masyarakat dengan cari pelabur luar dari kalangan pelabur yang mereka kenali untuk datang melabur di Selangor, Pulau Pinang atau Kelantan, contohnya.

    “Ini akan mewujudkan persaingan yang lebih baik, kenapa tidak pembangkang bersama-sama, kalau Barisan Nasional (BN) berjaya dapat pelaburan asing yang lebih banyak, kenapa tidak mereka adakan misi lebih positif, sama-sama tarik pelaburan ke negara kita…ini baru dipanggil politik profesional. Amalkan politik profesional, tabur jasa kepada rakyat, jangan tabur nista,” katanya.

    Seorang lagi penganalisis politik berpendapat kenyataan negatif pembangkang berhubung kejayaan kerajaan menarik pelaburan berskala besar dari negara China adalah rentetan kegusaran mereka terhadap sokongan yang semakin meningkat di kalangan rakyat kepada kerajaan.

    Pakar Geostrategis Azmi Hassan berkata ini kerana apa yang dilakukan kerajaan dalam menarik FDI itu bukan sahaja mampu memberi manfaat ekonomi kepada negara, malah mampu menarik sokongan pengundi terutamanya pengundi Cina kepada BN.

    “Begitu malang sekali apabila kerana manfaat politik, pembangkang menyerang pelaburan dari China. Malang kerana setiap negara memerlukan FDI tapi bila isu ini dipolitikkan, maka manfaat ekonomi akan jadi mangsa,” katanya.

    Menurut Azmi, setiap negara yang menerima FDI mempunyai perundangan untuk melindungi kepentingan negara dan sebab itu penting rakyat menilai FDI dari sudut ekonomi dan tidak mencampur-adukkannya dengan ideologi politik.

    Jelas beliau serangan demi serangan terhadap perkara itu adalah semata-mata permainan persepsi oleh pembangkang.

    “Fakta diputar belit untuk menggambarkan keburukan kerajaan dengan harapan rakyat menolak sokongan kepada kerajaan dan beri sokongan kepada pembangkang. Begitu aib sekali kerana taktik ini berjaya sehingga pembangkang meraih manfaat politik tapi akhirnya yang rugi adalah negara dan rakyat itu sendiri,” katanya.

    Katanya negara akan terus terpalit dengan kesan negatif dan rugi selagi politik pembangkang berterusan berkisar kepada kepentingan kepartian.

    “Malaysia memerlukan pembangkang yang bukan sahaja kuat tapi mampu mencanang sesuatu yang membina tapi malangnya pembangkang di Malaysia memang kuat tapi percaturan mereka mampu memusnah negara,” tegasnya.

    Sementara itu, naib Presiden Gerakan Datuk Dr Asharuddin Ahmad menyelar Muhyiddin kerana mengelirukan dan menghasut orang ramai untuk mengutuk usaha kerajaan bagi meningkatkan ekonomi negara melalui kerjasama dua hala jangka panjang dengan China.

    Asharuddin berkata kenyataan Muhyiddin bermotifkan politik demi kepentingan politik parti berkenaan.

    “Muhyiddin tidak bertanggungjawab dan ia bertentangan dengan kepentingan negara untuk menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Melayu dan Cina berhubung dasar kerajaan dan menjejaskan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China.

    “Malah, peningkatan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China akan mewujudkan akses pasaran yang lebih besar bagi barangan, perkhidmatan dan pelaburan serta meningkatkan daya saing industri, pemindahan teknologi dan pembangunan dan meningkatkan keupayaan domestik. Ia akan memberi manfaat kepada semua penggiat industri dan komuniti perniagaan secara keseluruhan,” kata Asharuddin.

    Asharuddin juga menolak kenyataan Muhyiddin dan menyifatkannya sebagai sempit, jahil dan secara salah menggalakkan pemulauan ekonomi kerana ia akan menyebabkan Malaysia dikutuk kerana masalah ekonomi.

    Beliau menyelar Muhyiddin kerana menolak fakta bahawa pelaburan China di Malaysia membantu negara ini, malah komuniti perniagaan secara keseluruhan akan terus mendapat manfaat daripada peningkatan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China.

    “Kenyataan Muhyiddin hanya untuk agenda politik parti itu, tiada kebimbangan yang tulen ditunjukkan terhadap kesejahteraan masyarakat Melayu dan China, tidak pula ada sebarang kerugian mengenai peluang perniagaan seperti yang didakwanya.

    “Sebaliknya, pelaburan China memberikan kelebihan yang ketara kepada Malaysia bukan setakat untuk survival, malah mengalami pertumbuhan dalam keadaan sukar,” kata Asharuddin, sambil menambah Muhyiddin nampaknya lupa bagaimana pelaburan China di Malaysia telah mengangkat prospek ekonomi dan perniagaan negara ini.

    “China telah menghulurkan bantuan kepada kita semasa keadaan yang sukar apabila kebanyakan FDI tradisional dilanda masalah ekonomi atau kegawatan kewangan dan gagal membantu negara apabila kita amat memerlukan,” katanya.

    Asharuddin mengingatkan Muhyiddin bahawa China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dengan 19 peratus jumlah eksport, manakala pelaburan dari China adalah signifikan dalam sektor pembuatan, pembinaan, infrastruktur dan hartanah.

    Menurut data rasmi, pelaburan China dalam sektor pembuatan tempatan dari 2009 hingga 2015 berjumlah RM13.6 bilion dan dijangka mewujudkan 24,786 peluang pekerjaan.

    Beliau juga menegaskan bahawa adalah jelas kepelbagaian budaya yang ditawarkan masyarakat Malaysia dengan tenaga kerja yang berbilang kaum dan bahasa menjadikan Malaysia rakan dan pasaran yang ideal dalam kerjasama perdagangan dan perniagaan antarabangsa.

    “Adalah malang Muhyiddin gagal menyedari kelebihan, potensi dan pandangan positif dengan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan China, tetapi sebaliknya melihat sesuatu perkara itu sebagai buruk dan mengelirukan orang lain dalam usaha untuk mencapai matlamat politik.

    “Beliau (Muhyiddin) perlu berhenti daripada membuat kenyataan provokatif dan mengelirukan sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha untuk memastikan negara berada di landasan yang progresif,” katanya.

    — BERNAMA

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up