Video Rakyat Kisah Masyarakat

  • Media Sosial
  • Abang Jo Bakal Ketua Menteri Sarawak?

    Oleh editor | 11 January 2017 | 4:06 pm

    SEBELUM itu, marilah kita sama-sama mengucapkan takziah atas kehilangan besar buat Barisan Nasional (BN) di Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang baru sahaja menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 1.20 petang Rabu, 11 Januari 2017.

     

    Didoakan agar Allahyarham diampunkan dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman oleh Allah SWT. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau kepada agama, bangsa dan tanah air kita bukanlah ‘kecil anak’, sebaliknya harus menjadi rujukan dan sanjungan buat generasi seterusnya dalam menelusuri ranjau kehidupan seharian.

     

    Pemergian Adenan ini merupakan satu peristiwa sedih keatas rakyat negeri Sarawak memandangkan selepas sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu selesai, 2.4 juta rakyatnya telah dijanjikan dengan pelbagai inisiatif melalui manifesto kearah sebuah kehidupan yang lebih berkualiti.

     

    Berikutan itu, ramai meminta agar posisi yang kosong berkenaan harus segera diisi demi kemaslahatan rakyat dan urustadbir negeri dapat beroperasi dengan lancar.

     

    Disebalik suasana hiba dan sedih ini, sebuah sumber memaklumkan, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg antara disebut-sebut bakal diangkat sebagai Ketua Menteri yang baharu menggantikan allahyarham.

     

    Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Abang Jo itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, memiliki pelbagai pengalaman menjawat beberapa portfolio paling kanan dalam kabinet Sarawak.

     

    Sumber yang diperoleh dari Sarawak berkenaan ada menyebut, Abang Jo dan pasukannya sudah cukup layak untuk menerajui negeri berkenaan, apatah lagi nama beliau sebelum ini turut disebut-sebut sebagai bakal pengganti Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke jawatan nombor satu kerajaan negeri itu sekitar tahun 2006 dan 2014.

     

    “Selain kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), ‘team Abang Jo’ telah menang besar pada pemilihan PBB yang lepas,” kata sumber dalaman seperti dipetik oleh portal Sarawakiana.

     

    Walaupun Astana Negeri mengumumkan Datuk Dauglas Unggah sebagai pemangku Ketua Menteri Sarawak, namun desas desus dari kumpulan politik negeri lebih berminat untuk memberi ruang kepada Abang Jo.

     

    Allahyarham Adenan, 72 disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari ini di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan, Sarawak akibat daripada komplikasi jantung.

     

    Beliau diberi kepercayaan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada tanggal 28 Februari 2014, setelah pengunduran Abdul Taib Mahmud daripada jawatan tersebut, yang seterusnya dilantik sebagai Yang Dipetua Negeri Sarawak yang ketujuh sejurus selepas itu.

     

    Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Datuk Jamilah Anu dan lima orang anak iaitu Siti Rafidah, Abdul Aziz, Hayati Kamidah, Aziza Jasmin dan Azizul Anuar. Acara penghormatan terakhir diadakan pada Khamis, 12 Januari 2017 dari 10.45 pagi selama dua jam, sebelum disolatkan selepas waktu Zuhur di Masjid Jamek Petra Jaya, Kuching, Sarawak. –Tv14

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Pos Berkaitan



    Scroll Up