Video Rakyat Kisah Masyarakat

  • Carian
  • Media Sosial
  • Jemtera BN, Sila Siap Sedia! – Pengarah Strategik

    Oleh editor | 7 January 2017 | 5:46 pm

    Sebarang kemungkinan boleh berlaku tahun ini dan semua jentera Barisan Nasional (BN) digesa bersiap-sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan bila-bila masa sahaja, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

    Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata langkah itu selaras peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang memberi gambaran PRU dan menyifatkan tahun ini sebagai istimewa.

    “Kita akan berdepan pilihan raya dan Perdana Menteri sudah memberi gambaran tahun ini ialah tahun yang istimewa.

    “Maknanya, kita mesti bekerja kuat kerana sudah diberikan sedikit isyarat pilihan raya akan diadakan tahun ini,” katanya kepada media selepas melawat beberapa projek pembangunan di Kota Belud pada Sabtu.

    Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata walaupun tarikh PRU adalah kuasa mutlak Perdana Menteri, semua parti komponen perlu memastikan jentera masing-masing mula digerakkan.

    Paling utama, katanya, adalah unit media siber untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat dan menyanggah segala tohmahan serta fitnah dilemparkan pembangkang.

    “Saya minta semua pengerusi jawatankuasa IT (teknologi maklumat) UMNO dan BN mempergiatkan latihan dan mencari jalan bagaimana dapat sebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan.

    “Ini penting kerana orang lagi cenderung menggunakan internet sebagai landasan politik. BN tidak mahu ketinggalan dalam hal ini dan kita mahu peperangan siber dan media sosial dalam pilihan raya kali ini dimenangi oleh BN,” katanya.

    Terdahulu, Abdul Rahman yang juga Setiausaha BN Sabah mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang dilantik sebagai Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkuat kuasa semalam.

    “Ini perkembangan yang baik dan dengan adanya kepemimpinan baharu berganding dengan yang lama, PBS mampu memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Sabah,” katanya.

    Komen Facebook

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Artikel Berkaitan



    Scroll Up