Video Rakyat Kisah Masyarakat

  • Media Sosial
  • Mampukah Kemenangan BN Di Kelantan Pada PRU14 Jadi Realiti?

    Oleh editor | 4 January 2017 | 3:30 pm

    Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dikatakan akan berlaku dalam tahun ini.

     

     
    Ramalan itu bersandarkan klu dari Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung parti itu bulan lepas.

     

     
    Apabila menyebut PRU, mata mula beralih kepada tiga negeri yang diperintah tadbir oleh Pas di Kelantan, PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang.

     

     
    Namun, dalam analisis ini, penulis hanya mahu merungkaikan misteri kegagalan Barisan Nasional (BN) menawan kembali Kelantan dari Pas sejak tahun 1990.

     

     
    Walaupun ramai penganalisis dan pemerhati politik saban penggal meramalkan BN Kelantan akan mengalahkan Pas tetapi sejarah menunjukkan selagi ada pemimpin bernama (Allahyarham) Nik Abdul Aziz Nik Mat, selagi itu BN berdepan kepayahan hendak merampasnya.

     

     
    Jadi, tidak hairanlah setiap kali keputusan pilihan raya diumumkan, kemenangan masih berpihak kepada Pas dan parti itu terus memerintah Kelantan sehingga hari ini, masuk 26 tahun.

     

     
    Umum tahu, Pas menang bukan kerana parti itu kuat. Kemenangannya boleh bersandarkan kepada “nasib baik”.

     

     
    Nasib baik yang diletakkan atas kebijaksanaan Pas bekerjasama dengan rakan politik untuk memastikan mereka terus menang, seperti tahun 1990, pada PRU kelapan, Pas bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

     

     
    Kerjasama itu menyaksikan Pas mampu kekal menang selama hampir dua penggal, sebelum S46 dibubarkan pada tahun 1996.

     

     
    Bagaimanapun, untuk terus menang, Pas tidak bersendirian. Parti pimpinan arwah Nik Abdul Aziz berbaik dengan rakan politik baharu iaitu Parti Keadilan atau PKR. Gabungan itu menyaksikan Pas menang lagi pada PRU ke-10 tahun 1999 dan PRU ke-11 tahun 2004.

     

     
    Tidak cukup dengan itu, Pas memeterai tahaluf siyasi dengan rakan politik bukan Islam iaitu DAP. Maka berputih matalah BN Kelantan hendak melawan Pas.

     

     
    Apabila dirungkaikan misteri kekalahan BN Kelantan, ada yang mengatakan, kekuatan Pas sebelum ini banyak bergantung kepada kewibawaan arwah tok guru Nik Abdul Aziz.

     

     
    Namun, pada tanggal 12 Februari 2015, Nik Abdul Aziz meninggal dunia dan tempatnya telah diambil alih oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selaku Presiden Pas dan menakhodakan kapal Pas untuk terus berlayar.

     

     
    Tidak sampai setahun pemergian arwah tok guru, maka berlakulah perpecahan ketara dalam Pas yang menyebabkan ramai pemimpin aliran liberal seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Datuk Mujahid Yusuf Rawa dan beberapa lagi meninggalkan Pas.

     

     
    Kumpulan liberal yang digelar Anwarinas itu menubuhkan parti baharu, yang dinamakan Parti Amanah Negara (PAN).

     

     
    Lalu, muncullah pelbagai kenyataan dari bijak pandai UMNO yang membuat ramalan perpecahan Pas semakin ketara dengan kewujudan PAN, yang dikatakan sering menghantui parti itu setiap masa.

     

     
    Sayap UMNO iaitu Pergerakan Pemuda membuat andaian sokongan anak muda kepada Pas semakin menurun apabila mereka dikatakan sangat kecewa dengan perilaku pemimpin parti itu yang asyik bertelagah.

     

     
    Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Mohd Rizduan Ibrahim berkata, rakyat Kelantan mulai rasa sangsi kebolehan tadbir urus kerajaan Kelantan di bawah Pas selama 26 tahun.

     

     
    Tambahan pula, katanya, maklumat diperoleh daripada bekas Exco kanan Pas sendiri yang keluarkan isu kerajaan satu persatu.

     

     
    “Isu air tidak pernah selesai, rakyat Kelantan mulai rasa bosan apabila kekerapan ketiadaan air, berkarat dan tekanan air sangat perlahan semakin dirasai,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette bertajuk 20 Dalil, PRU-14, Kelantan Milik BN.

     

     
    Ujar beliau, rakyat Kelantan juga mulai timbulkan persoalan isu pemberian tanah kepada pelabur luar berbangsa Cina secara berleluasa dan agihan tanah mengikut siapa lebih kuasa atau puak yang dominasi tadbir kerajaan.

     

     
    Rakyat Kelantan juga kata Mohd Rizduan, mula merasai tiada lagi aset negeri untuk dihargai dengan pesisir pantai yang dahulu cantik, kini semakin terbiar dan pusat rekreasi air terjun yang indah mula makin punah.

     

     
    Tidak cukup dengan itu, masalah sosial dan pil kuda semakin ketara serta bahaya, walaupun Kelantan digazetkan sebagai Serambi Mekah. Rakyat turut mempertikaikan keupayaan pentadbiran Pas sebagai kerajaan negeri dalam mengurus masalah generasi.

     

     
    “Rakyat juga semakin sedar, program yang dianjurkan sekadar keuntungan politik semata-mata, bukan secara terancang untuk membina generasi.

     

     
    Pas semakin hilang tempat untuk penyebaran dakyah politik, masjid dan surau yang sebelum ini dikuasai sepenuhnya oleh Pas, kini telah dikuasai dan berpecah dua antara Pas dan PAN juga antara dalil BN Kelantan boleh menang.

     

     
    Dalil lain ialah, penyebaran dakyah politik Pas semakin terbantut dan semangat juang semakin layu di kalangan penyokongnya.

     

     
    Selain itu, pengundi luar mula mengambil pendekatan diam dan berkecuali.

     

     
    Katanya, jika PRU 13, kumpulan itu yang banyak menyumbang kepada kemenangan Pas di Kelantan, tetapi kali ini, segelintir besar kumpulan pengundi luar mula mengambil langkah tidak menghiraukan apa perkembangan yang berlaku kepada hal ehwal kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas.

     

     
    Dalil seterusnya ialah rakyat Kelantan mulai merasakan perlu adanya pembangunan serta peluang pekerjaan dan teringin untuk kembali bekerja di negeri sendiri.

     

     
    “Rakyat Kelantan semakin bijak menilai tugas serta peranan Yang Berhormat (YB) di kawasan mereka. YB Pas dan UMNO menjadi perkara pokok diperbandingkan dan mereka bukan sahaja melihat tugas YB setakat melawat orang sakit atau kematian, malah menilai secara holistik,” katanya.

     

     
    Tetapi, dalam keyakinan dan keghairahan BN Kelantan untuk menang pada PRU14 ini, jawapan dari mereka juga perlu diketahui, iaitu sejauhmana persiapan jentera bagi menterjemahkan impian ini?

     

     
    PRU 14 bukan pilihan raya pertama BN Kelantan. Ini masuk PRU penggal keenam. Jika dihitung, ia berjumlah selama 26 tahun.

     

     
    Dalam tempoh itu, BN Kelantan masih gagal membentuk kerajaan, sedangkan Pas bukan hari saja, malah selama-lamanya lemah, tidak kuat, tetapi BN tidak berusaha untuk menang.

     

     
    Mendedahkan kepincangan dan kelemahan Pas sahaja tidak cukup kalau jentera BN Kelantan tidak bekerja dan perangai berebut hendak menjadi calon tidak dapat dibendung. – MG

     

    www.tv14.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
    Pos Berkaitan



    Scroll Up