Ketua pasukan Amri Yahyah berkata, segala kelemahan dalam perlawanan itu perlu dijadikan pengajaran berguna kepada mereka setelah gagal menjaringkan gol ketika bertemu dengan lawan yang berada di ranking lebih rendah.

Katanya, walaupun kecewa dengan keputusan itu, mereka akur kerana gagal memanfaatkan peluang yang ada walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan.

“Walaupun hanya perlawanan persahabatan, kami telah melakukan yang termampu tetapi kami gagal untuk menjaringkan gol, walaupun saya sendiri ada mencipta peluang tetapi gagal memecah kebuntuan.

“Kepenatan bukanlah faktor kegagalan ini, tetapi mungkin kami bermain dalam tekanan disebabkan mengetahui kedudukan pasukan lawan yang berada agak jauh di belakang Malaysia dan terlalu leka untuk mencari gol sehingga menjejaskan fokus,” katanya selepas perlawanan.

Penyerang berusia 35 tahun itu mengakui pasukan negara perlu memperbaiki ketajaman di bahagian penyudah dan belajar untuk mengekalkan fokus sepanjang permainan.

Keputusan seri 0-0 itu disambut dengan gembira oleh pemain Macau, yang rata-ratanya adalah pemain amatur.

Pemain pertahanan Lei Chi Kin, 25, berkata, dia bangga dengan rakan sepasukannya yang antaranya merupakan ahli bomba, polis, guru, kerani dan sebagainya dan mempunyai kekangan masa untuk menjalani latihan bersama.

“Bagaimanapun, pasukan ini telah melakukan yang terbaik dan saya sangat gembira dengan rakan-rakan sepasukan.

“Ini adalah pengalaman yang bermakna untuk kami belajar dan mempertingkatkan kualiti per­mainan,” katanya yang juga seorang wartawan penyiaran di stesen Macau TV.